Mohd Zaqhwan Zaidi bermula dengan langkah kanan apabila memenangi perlumbaan kategori CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, hari ini.
Pelumba Pachie Yuzy Honda Racing itu menewaskan pelumba-pelumba lebih berpengalaman setelah menamatkan perlumbaan sebanyak 15 pusingan dengan catatan masa keseluruhan 13 minit 42.362s.
Tempat kedua menjadi milik Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2), 13:48.645s diikuti Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) ketiga, 13:49.541s.
Malang menimpa buat juara Batu Kawan musim 2011 yang memulakan perlumbaan di petak pertama, Ahmad Fazli Sham apabila terjatuh seawal pusingan kedua dan gagal meneruskan perlumbaan selepas itu.
Zaqhwan yang cukup gembira dengan kemenangan pertamanya sejak mula menyertai kategori perdana ini pada musim lepas berkata, "Saya tidak menyangka mampu meraih kemenangan ini apatah lagi melakukan sedikit kesilapan pada peringkat awal perlumbaan. Namun nasib saya begitu baik pada hari ini apabila jentera saya berada dalam keadaan terbaik di tambah dengan insiden beberapa pelumba di hadapan yang turut membantu saya untuk muncul juara," jelas pelumba 17 tahun ini.
Zaqhwan menambah, "Saya sangat-sangat berterima kasih kepada seluruh pasukan saya kerana dapat menyediakan jentera di tahap optimum. Pengalaman beraksi di pentas Asia juga banyak membantu meningkatkan kemahiran saya untuk menghadapi cabaran CP130 musim ini. Saya berharap dapat mengekalkan prestasi konsisten sepertimana di Batu Kawan pada setiap pusingan perlumbaan akan datang."
Kemenangan itu meletakkan Zaqhwan kini mendahului senarai keseluruhan dengan memungut 25 mata diikuti Azlan, 20 mata dan Muhaimin ketiga, 16 mata.
Gandingan Zaqhwan dan Wan Mohd Hadri Wan Muhktar turut membolehkan pasukan Pachie Yuzy Honda Racing mendahului senarai kedudukan berpasukan dengan 28 mata, Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2 (Azlan, Mohd Fitri Ashraf Razali) kedua, 26 mata dan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 1 (Norizman Ismail/Mohd Affendi Rosli) ketiga, 22 mata.
No comments:
Post a Comment