jokisenja header

jokisenja header

Monday, April 2, 2012

ISKANDAR MUNCUL JUARA CP115 DI BATU KAWAN




Kejayaan dicapai pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM, Mohd Iskandar Raduan apabila dia berjaya mengungguli perlumbaan kategori CP115 setelah kali terakhir memenanginya pada tahun 2010.

Iskandar menamatkan perlumbaan 12 pusingan dengan masa keseluruhan 11:14.403s diikuti Mohd Azhar Abdul Jalil (Motul Yamaha YY Pang)kedua, 11:16.163s dan Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui Racing) ketiga, 11:20.479s.

Menurut Iskandar, "Kemenangan ini merupakan sesuatu yang cukup positif kepada saya setelah agak lama tidak menjejakkan kaki di atas podium. Saya begitu berpuas hati dengan prestasi keseluruhan di Batu Kawan ini apabila berjaya menguasai semua sesi yang berlangsung sepanjang dua hari ini ditambah dengan keadaan jentera yang begitu baik."

Tambah Iskandar lagi, "Pengalaman beraksi dalam kategori CP130 pada musim lepas juga turut membantu meningkatkan kemahiran saya dan menaikkan semula semangat saya untuk aksi pada musim 2012 ini. Semoga ia berterusan di Kuala Terengganu nanti," jelasnya.

Iskandar mendahului kedudukan keseluruhan dengan 25 mata diikuti Azhar, 20 mata dan Ahmad, 16 mata. Namun, pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing 2 (Azhar, Zaidy Mohd Zaifaizal) menguasai kedudukan berpasukan dengan 30 mata diikuti PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM (Iskandar, Zulsyafiz Rosli) kedua, 25 mata dan Apido Yamaha Boon Kui Racing, (Ahmad, Zulzaki Kipli) ketiga, 16 mata.

No comments:

Post a Comment