jokisenja header

jokisenja header


Sunday, April 15, 2012

PETRONAS SYNTIUM MOTO YAMAHA AHM DOMINASI CP115




Dalam kategori CP115, Shahril Izzuwan Mohd Nor membuktikan dirinya masih antara pencabar utama saingan musim 2012 apabila menamatkan perlumbaan 12 pusingan sebagai juara dengan catatan masa keseluruhan 8:33.558s.

Tambah manis, berada di tempat kedua ialah rakan sepasukannya dari pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM, Mohd Iskandar Raduan. Iskandar yang juga juara pusingan lepas yang menamatkan perlumbaan dengan 8:33.889s manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba kelahiran Terengganu, Ahmad Afif Amran (CKJ Yamaha Racing), 8:35.232s.

Shahril yang kembali ke kategori CP115 selepas memulakan pusingan pembukaan musim 2012 dalam kategori CP130 berkata, "Beraksi semula dalam kategori CP115 pada pusingan kedua ini tidak memberi sebarang impak kepada saya sebaliknya sepertimana yang dirancang oleh pengurus pasukan, Kenny Chua, keputusan ini dilihat dapat mencerahkan peluang kami untuk mengekalkan kedua-dua anugerah keseluruhan yang dimenangi pada musim lepas," jelas juara bertahan CP115 itu.

Mengulas mengenai cabaran sengit daripada Iskandar pada sepanjang perlumbaan, Shahril berkata, "Walaupun dari pasukan sama, kami tetap memberikan aksi terbaik kerana kedua-duanya mahu merebut kemenangan di sini. Namun kemenangan ini sangat penting kepada saya kerana ia membuka ruang bagi saya untuk mempertahankan gelaran musim lepas. Walaupun begitu, keutamaan tetap diberikan kepada strategi yang dirancang oleh pengurus pasukan. Jika selepas ini Iskandar kekal di tangga teratas, saya akan membantunya untuk memenangi gelaran individu keseluruhan," jelas Shahril.

Gelaran naib juara meletakkan Iskandar jauh mendahului pelumba-pelumba lain apabila berada di tangga teratas dalam senarai keseluruhan dengan 45 mata manakala Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui) kedua, mengumpul 26 mata dan Mohd Farid Ahmad (CKJ Yamaha Racing) ketiga, juga dengan jumlah mata yang sama.

Selepas dua pusingan, PETRONAS syntium Moto Yamaha AHM berada di tangga teratas senarai Anugerah Berpasukan Keseluruhan dengan mengumpul 70 mata diikuti CKJ Yamaha Racing kedua, 42 mata dan Motul Yamaha Racing Team 2 (Zaidy Mohd Zaifaizal/Mohd Azhar Abdul Jalil) ketiga, 30 mata.

No comments:

Post a Comment