Pelumba WIRA, Mohd Hafiz Nor Azman yang mencatat masa terpantas sewaktu ujian pra-musim Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) baru-baru ini mengambil pencapaian tersebut sebagai motivasi besar buat dirinya menghadapi pusingan dua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Terengganu pada 13 dan 14 April ini.
Pelumba Team MOS Malaysia Racing itu mengejutkan ramai pihak termasuk pelumba senior dari Malaysia, Indonesia, Jepun dan Phillipines apabila dia mendominasi dua daripada tiga sesi-ujian kategori Underbone 115cc sebelum meletakkan dirinya selaku pelumba terpantas dengan catatan masa 1'23.468saat.
Sementara itu duo Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing, Norizman Ismail dan Mohd Affendi Rosli muncul kedua dan ketiga terpantas dengan catatan 1'23.922saat dan 1'23.944 saat masing-masing pada ujian pra-musim yang dijalankan di Litar Antarabangsa Sepang pada Rabu dan Khamis lepas.
Turut menambahkan keyakinannya, Hafiz memulakan musim 2012 dengan langkah kanan apabila muncul tempat ketiga pada pusingan pembuka Cub Prix di Batu Kawan di belakang juara, Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan dan naib-juara Tengku Amirul Haffiruddin, kedua-duanya wakil pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing.
Walaupun begitu, pelumba muda itu tidak beranggapan pusingan di Terengganu hujung minggu ini sebegitu mudah. "Mustahil perlumbaan hujung minggu ini mudah. Sebaliknya saya berpendapat ia pasti amat sukar kerana kebanyakan pesaing saya agak berpengalaman memandangkan sejumlah dari mereka telah berlumba dalam kategori WIRA selama beberapa tahun. Mungkin dari segi teknikal jentera tidak banyak beza, tetapi pengalaman yang diperolehi selama ini pasti akan menjadi kelebihan buat mereka," jelas Hafiz.
Dia turut menambah, "Namun saya tidak gentar. Di Batu Kawan saya berjaya menamatkan saingan di atas podium dan baru-baru ini saya mencatat masa terpantas sewaktu ujian pra-musim Underbone 115cc di Litar Sepang dan ini menjadi motivasi cukup besar buat saya merebut kedudukan juara. Apa yang penting ialah saya perlu fokus, menggunakan peluang yang diberikan sebaik mungkin untuk memahami litar dan cuba yang terbaik untuk mencipta jarak dari pelumba lain," ujar remaja berusia 16 tahun itu.
Bercakap mengenai prestasinya pada ujian pra-musim ARRC minggu lalu, Hafiz memberikan komen, "Saya cukup terkejut dan tidak menjangkannya. Saya juga berharap, berdasarkan keputusan tersebut, pihak pengurusan pasukan akan membenarkan saya beraksi sepenuh masa dalam Kejuaraan ARRC yang pasti akan banyak membantu meningkat skil perlumbaan saya."
No comments:
Post a Comment