jokisenja header

jokisenja header


Monday, April 23, 2012

Tekad kekal pendahulu Wira

Fakhrusy Syakirin Rostam



FAKHRUSY Syakirin Rostam bertekad untuk mempertahankan kedudukan pendahulu menjelang perlumbaan pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Stadium Utama, Kangar, pada 28 dan 29 April ini.
Selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam dua pusingan lalu, Fakhrusy mendahului senarai pelumba kategori Wira dengan mengumpul 38 mata namun pelumba AAP Mazoil Armstrong itu diekori rapat oleh Mohd Hafiz Nor Azman dari Team MOS Track Pro Yamaha Racing.

Hafiz di tangga kedua sekadar ketinggalan dua mata di belakang Fakhrusy (36 mata).
Bagi pelumba kelahiran Johor itu, kelebihan dua mata tidak mencukupi apatah lagi saingan masih di peringkat awal dan berbaki lapan pusingan lagi.

Malah prestasi cemerlang Hafiz dengan menaiki podium pada kedua-dua pusingan terdahulu di Batu Kawan (Pusingan 1) dan Kuala Terengganu (Pusingan 2) turut menggusarkan Fakhrusy.

“Sasaran utama hujung minggu ini adalah untuk menjarakkan diri daripada Hafiz. Apa saja boleh berlaku sewaktu perlumbaan dan dengan prestasi konsisten menaiki podium pada kedua-dua pusingan perlumbaan, Hafiz dilihat mampu merampas kedudukan saya sebagai pendahulu,” kata Fakhrusy.
Namun begitu, keyakinan Fakhrusy tetap tinggi ekoran kelebihan jentera pasukannya.

“Setiap kali keluar ke litar, prestasi Hafiz cukup konsisten namun jentera saya dilihat mempunyai beberapa kelebihan terutama daripada segi kelajuan. Saya cuma perlu membaiki kemahiran tunggangan saya dan beraksi dengan lebih agresif bagi mengelakkan pelumba lain mengambil peluang terhadap kelemahan saya,” jelas Fakhrusy yang menghabiskan setiap hujung minggunya dengan menjalani latihan.
Katanya lagi: “Pertukaran laluan litar pada musim ini juga menjadikan saingan kali ini sama adil dan tidak memberi kelebihan kepada mana-mana pelumba.” Berada di belakang Fakhrusy dan Hafiz dalam senarai keseluruhan adalah Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan (Motul Yamaha YY Pang Racing) dengan 25 mata.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-87338787 atau lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, www.malaysiancubprix.com.

No comments:

Post a Comment