jokisenja header

jokisenja header

Thursday, October 21, 2010

ZAQHWAN ALIH FOKUS KE CP130 20 Oktober 2010

Walaupun kurang pengalaman, Mohd Zaqhwan Zaidi mengalih tumpuan dari saingan kategori CP115 ke kelas lebih tinggi, CP130 dan Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan menyaksikannya membuat kemunculan kedua di dalam kategori premier tersebut.
 Pengurus pasukan Modenas Yuzy Pachie Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini mengesan bakat yang dimiliki Zaqhwan lantas membuat keputusan meletakkan anak didiknya dalam kategori CP130 bagi mempercepatkan proses pembelajarannya pada Pusingan 7 di Melaka bulan lalu.
Zaqhwan, 15 tahun yang memulakan karier dalam arena Cub Prix musim ini sekadar memiliki rekod pencapaian terbaik dalam kategori CP115 dengan menduduki tempat keenam di Kluang (Pusingan 2) dan Teluk Intan (Pusingan 6). Sementara, percubaan sulung dalam kelas CP130 di Melaka lepas, Zaqhwan menduduki tempat ke-9 perlumbaan akhir.
Zaqhwan menyifatkan cabaran di dalam kelas CP130 memberikannya pendedahan dan pengalaman yang amat bermakna.
"Saya tidak kisah samada berada dalam kategori dari CP115 atau CP130. Tambahan pula dalam saingan CP115, saya tidak memburu gelaran keseluruhan. Oleh itu, berada pada dua kategori dalam semusim memberi banyak pendedahan dan tips berlumba," jelas Zaqhwan.
"Kini, tumpuan saya adalah mengikuti dan mempraktikkan apa yang dipelajari dari pelumba senior seperti race line, bagaimanapun untuk menguasai selekoh, 'braking-point' yang tepat, bila dan bagaimana untuk memintas lawan dan banyak lagi. Di sini (kelas CP130), mereka cukup berpengalaman dan saya berpuas hati andai berjaya memperolehi mata pada setiap perlumbaan," ujar Zaqhwan.
Ketika mengulas penampilan sulung Zaqhwan dalam kelas perdana di Melaka, Yuzy menyifatkan ia satu pencapaian positif dan cukup memberangsangkan.
"Sebenarnya, saya juga terkejut dengan persembahan Zaqhwan. Saya tidak menjangkakan dia mampu menyaingi pelumba senior seperti Ahmad Fazrul Sham (Honda Idemitsu Racing) dalam perlumbaan akhir di Melaka.
"Sekalipun ketinggalan 0.079 saat, saya fikir Zaqhwan sudah memberi yang terbaik menamatkan cabaran dibelakang Fazrul. Ini merupakan pendedahan terbaik bagi dia dan saya harap Zaqhwan akan terus mempelajari sebanyak mungkin," jelas Yuzy.

No comments:

Post a Comment