jokisenja header

jokisenja header

Thursday, October 28, 2010

Perguna pengalaman kejar gelaran

Zambri Baba

PELUMBA wildcard Moto2 negara, Mohd Zamri Baba akan mempergunakan segala pengalaman bagi mengejar gelaran juara keseluruhan kelas SuperSports 600cc siri Kejuaraan Motosikal Asia Petronas pada Pusingan 5 di Litar Antarabangsa Zhuhai, China hujung minggu ini.

Pelumba pasukan Petronas Yamaha Malaysia yang ketika ini berkongsi kedudukan tempat ketiga dengan 87 mata bersama rakan sepasukan Azlan Shah Kamaruzaman menyifatkan peluangnya untuk merangkul mahkota keseluruhan masih cerah.

“Masih ada dua pusingan lagi dengan keseluruhan empat perlumbaan. Ini bermakna terdapat 100 mata untuk dikumpul dan buat masa ini, Decha Kraisart (Petronas Yamaha Thailand) menerajui kedudukan keseluruhan dengan 108 mata diikuti rakan sepasukan, Chalermpol Polamai dengan 90 mata,” ujar Zamri yang menamatkan cabaran Moto2 di tempat ke-22 daripada 39 pelumba.

Pelumba berusia 27 tahun itu menekankan persaingan bagi merebut tempat teratas cukup sengit dan masih terbuka luas.

“Decha memiliki kelebihan 21 mata, oleh itu saya perlu menamatkan perlumbaan di depannya. Ia bukan mudah tetapi hanya dengan cara itu saya boleh mengurangkan defisit mata tersebut.

“Ia satu cabaran yang cukup sengit antara saya, Decha, Chalermpol dan Azlan kerana sebelum ini kami semua pernah menaiki podium di Zhuhai. Kami juga perlu berwaspada dengan Ahmad Fuad Baharudin yang sebelum ini mencipta dua kemenangan berturut-turut di Zhuhai tahun lepas,” katanya.

Ketika diajukan strateginya menjelang perlumbaan di Zhuhai hujung minggu ini, Zamri berkata: “Saya akan menggunakan pengalaman diperoleh sepanjang perlumbaan Moto2 di Kejuaraan Grand Prix Motosikal (MotoGP) dan berusaha memperbaiki kelemahan seperti yang ditunjuk Pengarah Mirowaki Engineering Co Ltd, Mamoru Moriwaki.” Menyentuh mengenai cabaran di Zhuhai kelak, Zamri berkata, dia mensasarkan untuk sekurang-kurangnya berada di atas podium. “Saya perlu menamatkan cabaran dikalangan tiga pelumba terbaik perlumbaan,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment