jokisenja header

jokisenja header

Thursday, October 21, 2010

FITRI BELUM MAHU MENGAKU KALAH 21 Oktober 2010

Kekecewaan gagal menaiki podium pada dua pusingan sebelum ini mahu ditebus Mohd Fitri Ashraf Razali yang nekad untuk menamatkan perlumbaan di kelompok tiga teratas pada Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang hujung minggu ini.

Pelumba Caviaga Modenas Cilik Racing ini bertekad mengembalikan rentak kemenangan dan berusaha untuk terus menyalakan harapan memburu gelaran kategori Wira. Ketika ini dia sekadar menduduki tempat keempat selepas mengumpul 79 mata, tercicir satu mata dengan pelumba di tempat ketiga, Mohd Syawalluddin Mohd Zaki (Modenas FortyOne Racing) yang meraih 80 mata.
Penunggang Motul Yamaha YY Pang, Mohd Adib Rosley dan Mohd Azhar Abdul Jalil mendominasi senarai kutipan mata apabila masing-masing selesa di puncak selepas mengumpul 125 dan 113 mata.
Meskipun kejayaan seakan sukar digapai pada pertengahan musim buat Fitri, dia masih belum sedia mengibar bendera putih meskipun tercicir 46 mata daripada Adib. Pelumba berusia 16 tahun itu percaya masih ada peluang untuknya merampas gelaran juara keseluruhan musim 2010.
"Saya agak tertekan ketika ini kerana Adib mempunyai kelebihan 46 mata berbanding saya tetapi peluang untuk merebut gelaran masih terbuka ketika perlumbaan berbaki tiga pusingan lagi. Macam-macam boleh berlaku dalam tempoh ini dan Adib juga perlu bekerja keras untuk menangkis segala asakan pelumba lain andai dia masih mengidamkan kejuaraan. Dia tidak boleh melakukan sebarang kesilapan ketika ini,"  kata Fitri.
Adib menjelaskan, "Begitu juga dengan saya. Saya tidak boleh melakukan kesilapan lagi yang akan menyebabkan saya kehilangan mata berharga. Ini kerana tidak banyak lagi masa untuk saya menebus kesilapan yang dilakukan sebelum ini. Sudah dua perlumbaan gagal membuahkan hasil buat saya iaitu di Teluk Intan (Pusingan 6) dan Melaka (Pusingan 7). Di Teluk Intan saya terjatuh tetapi masih mampu menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh tetapi di Melaka, hujan menghalang rentak saya dan seumpama jatuh ditimpa tangga, saya dilanggar oleh rakan sepasukan, Mohd Ammar Hafiq Rauzan. Saya masih mampu menamatkan perlumbaan tetapi gagal meraih sebarang mata kerana menduduki tempat ke-16, aksi terburuk saya setakat ini.
"Menjelang saingan minggu ini, saya mesti memberikan tumpuan 100 peratus memburu sasaran saya iaitu menamatkan pelumbaan dalam kelompok tiga teratas, tidak kira perlumbaan berlangsung dalam hujan atau cuaca panas. Itu saja peluang yang masih tinggal buat saya untuk merapatkan jurang. Pasti lebih menarik andai saya muncul juara tetapi buat masa ini sasarannya adalah tiga tempat teratas," kata pelumba kelahiran Rawang, Selangor itu.

No comments:

Post a Comment