jokisenja header

jokisenja header


Saturday, March 17, 2012

Zamri terlepas aksi pembukaan Cub Prix



Zamri Baba ketika beraksi dalam pusingan ARRC musim lalu. 

Di saat seluruh kontinjen sudah tidak sabar untuk memulakan saingan  Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, lain pula ceritanya bagi pelumba handalan, Mohd Zamri Baba.
Pelumba itu bakal terlepas aksi pusingan pembukaan yang akan berlangsung di Stadium Batu Kawan, Sebarang Jaya pada 31 Mac hingga 1 April ini kerana dia akan meluangkan masa selama tiga minggu di Jepun untuk menjalani latihan SuperSports 600c.
Selain itu, dia turut dijadualkan beraksi di Pusingan Pembukaan Kejuaraan Seluruh Jepun MFJ yang akan berlangsung di Litar Twin Ring Motegi atas tiket wildcard pada tarikh yang sama dengan perlumbaan di Batu Kawan.
Pelumba PETRONAS Yamaha Malaysia itu akan menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatihnya, Youichi Ui yang banyak membantu meningkatkan prestasinya di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS musim lepas.
Walaupun kecewa kerana tidak dapat beraksi di Batu Kawan, Zamri terpaksa berkorban demi untuk merealisasikan hasratnya merebut mahkota Kejuaraan pada musim ini.
“Kami jangkakan saingan pada musim ini semakin sengit. Selain juara 2011, Katsuaki Fujiwara (Manual Tech BEET Kawasaki Racing) dan naib juara, Azlan Shah Kamaruzaman (Boon Siew Honda Racing Malaysia), beberapa nama-nama besar seperti Ryuichi Kiyonari turut bersaing pada musim ini, jadi sebab itulah persediaan perlu bermula dari sekarang,” kata Zamri yang berangkat ke Jepun Isnin lepas.
“Sudah tentu saya agak kecewa kerana terlepas aksi pembukaan Cub Prix. Namun, pada masa sama, saya mahu merebut peluang ini untuk meningkatkan karier perlumbaan SuperSports 600cc dan berharap dapat bersaing merebut gelaran juara. Saya percaya dengan latihan kendalian Ui dan menyertai Kejuaraan Seluruh Jepun di Motegi, peluang saya akan bertambah,” katanya.
Bercakap tentang sasarannya di litar Motegi, Zamri hanya berharap sekurang kurangnya dapat berada di kelompok 10 pelumba terbaik. “Sukar untuk meletakkan sebarang sasaran kerana ini merupakan aksi pertama saya di Kejuaraan Seluruh Jepun namun saya berharap dapat menamatkan perlumbaan di kedudukan 10 teratas.
"Kami jangkakan perlumbaan pasti sukar memandangkan perlumbaan di dalam cuaca sejuk, jadi saya perlu menggunakan tempoh tiga minggu ini untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di samping meningkatkan kemahiran tunggangan dan pengetahuan teknikal jentera 600cc ini,” kata pelumba 29 tahun itu.
Berada di tangga ketiga keseluruhan SuperSports 600cc musim lepas, pelumba kelahiran Klang itu bukan pelumba pertama menyertai Kejuaraan Seluruh Jepun.
Pelumba ARRC lain yang turut mengambil bahagian ialah duo Yamaha Thailand Racing, Chalermpol Polamai dan Decha Kraisat serta rakan sepasukan Fujiwara dari Indonesia, M.Fadli.

No comments:

Post a Comment