jokisenja header

jokisenja header


Friday, March 30, 2012

Empat pelumba jadi taruhan kekalkan gelaran

Mohd Fitri Ashraf Razali ketika beraksi dalam kategori CP115 pada musim lalu. 



Selepas menamatkan musim 2011 dengan pelbagai kejayaan, empat pelumba menjadi harapan  pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing untuk mempertahankan gelaran dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang bermula hujung minggu ini.
Selain daripada juara CP130, Norizman Ismail, Mohd Affendi Rosli dan Azlan Shah Kamaruzaman, Mohd Fitri Ashraf Razali bakal bergandingan bersama-sama pelumba senior dalam usaha mengekalkan gelaran pasukan terbaik walaupun hanya satu musim beraksi dalam kategori CP115 selepas beralih dari kategori Wira pada tahun 2010.
Dengan kemasukan Fitri, pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing menjadi pasukan terbesar dalam kategori perdana dengan empat pelumba diikuti Yamaha Maju Motor yang diwakili juara dua kali kategori Expert, Ahmad Fazli Sham, Abdul Muhaimin Roslan dan Mohd Taufiq Roslan.
Walaupun barisan baru ini dilihat meningkatkan peluang untuk mereka mempertahankan gelaran yang dimenangi musim lepas, pengurus pasukan, Soong Chee Kieong berpendapat ia bukan satu kelebihan buat mereka. Sebaliknya dia menjelaskan Fitri dinaikkan ke kelas CP130 supaya pelumba muda itu dapat berkembang dengan lebih pesat.
“Fitri menunjukkan peningkatan ketara dalam kategori CP115 sebelum ini jadi pada tahun ini kami mahu dia berkembang dengan lebih progresif apabila beralih ke kategori CP130. Tindakan ini tidak terlalu cepat baginya kerana lambat laun dia tetap akan beraksi dalam kelas ini.
"Tambahan lagi usiannya masih muda dan ini memudahkan dia menyesuaikan diri. Sebagai contoh, Hafizh Syahrin Abdullah. Dia mula beraksi dalam kategori ini pada usia 16 tahun begitu juga dengan Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang mula beraksi pada usia 15 tahun dan kini kedua-duanya merupakan antara pelumba terbaik negara pada masa ini. Sebab itu kita juga berharap Fitri dapat menggunakan sepenuh peluang ini untuk menimba pengalaman berguna bagi dirinya,” katanya.
Tambah Soong Chee Kieong lagi, “Selain itu, kami akan menggunakan model baru iaitu Honda Dash pada musim ini. Bentuknya lebih aerodinamik dan kami mahu Fitri segera menyesuaikan diri dengan jentera baru ini. Cara terbaik untuk mencapai objektif ini adalah dengan meletakkannya bersaing bersama pelumba-pelumba handalan dalam Kejuaraan ini.” 
Ketika ditanya pelumba manakah yang berpeluang untuk bergelar juara CP130 2012, pengurus itu menjelaskan, “Mempertahankan gelaran adalah lebih sukar berbanding untuk memenanginya kerana semua orang akan memberi tumpuan kepada kami. Walaupun begitu, saya percaya Norizman, Affendi dan Azlan masing-masing mempunyai peluang sama rata untuk memenangi gelaran.
"Ia terpulang kepada nafsu masing-masing kerana keupayaan jentera mereka tidak berbeza. Moga-moga kami dapat memulakan musim ini dengan keputusan yang baik di Batu Kawan ini.”

No comments:

Post a Comment