jokisenja header

jokisenja header


Saturday, March 24, 2012

FEATURE: FAITO YSP RACING BERALIH KE JENTERA HONDA




Bagi menjamin kejayaan dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, 2012 pelbagai rombakan telah dilakukan dan diumukan oleh pasukan-pasukan bertanding termasuk Faito YSP Racing.


Selepas mencatat keputusan memberansangkan tahun lalu, pasukan ini bakal beralih menggunakan jentera Honda bagi menghadapi saingan musim baru bermula pada Pusingan 1 di Litar Batu Kawan, Pulau Pinang pada 31 Mac dan 1 April ini.

Walau bagaimanapun, tiada perubahan dilakukan pada barisan pelumba pasukan ini. Sebaliknya ia akan terus diwakili Mohd Hafiza Rofa dan Mohd Shafiq Rasol dan kedua-dua pelumba ini akan meneruskan misi merebut gelaran juara keseluruhan kategori Wira.

Walaupun akur peralihan jentera sedikit-sebanyak pasti akan menyukarkan usaha mereka menghadapi musim baru, pengurus pasukan, Lee Waye Siang tetap positif Hafiza serta Shafiq mampu menghadapi segala cabaran bersama jentera baru.

"Penting bagi kami untuk terus mencari cabaran baru dalam perlumbaan seperti ini bagi memastikan kami terus kompetitif di dalam Cub Prix. Walaupun pelumba dan juga mekanik terpaksa bermula dari peringkat awal semula, namun ini dapat memberi mereka pengalaman baru dan pemahaman teknikal yang lebih baik."

Waye Siang turut menambah, "Kami memerlukan masa sebelum dapat benar-benar memahami jentera baru ini namun saya percaya selepas beberapa ujian di tambah perancangan rapi, kami akan dapat menghasilkan jentera yang kompetitif. Tambahan pula peraturan teknikal Wira yang agak ketat dan terhad, jadi tidak banyak perubahan yang kami boleh lakukan," katanya.

Mengulas tentang harapan terhadap Hafiza dan Shafiq, Waye Siang percaya kedua-duanya mampu menjadi pencabar utama bagi merebut gelaran juara Wira berdasarkan persembahan hebat musim lalu.

"Sukar untuk kami meletakkan sasaran kerana kami masih belum tahu mengenai kemampuan pencabar-pencabar lain pada waktu ini. Namun begitu, ia tidak mustahil untuk meletakkan sasaran gelaran juara Wira kerana persembahan Hafiza dan Shafiq pada tahun lepas begitu baik.

"Hafiza muncul naib juara keseluruhan pada tahun pertamanya manakala pada tiga pusingan terakhir pula, Shafiq menunjukkan banyak peningkatan. Tetapi sebelum mereka boleh merebut gelaran juara, mereka perlu memberi tumpuan untuk menyesuaikan diri dengan jentera Honda di samping membantu mekanik menghasilkan pelarasan yang terbaik," katanya.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd
 

No comments:

Post a Comment