Pasukan Honda Promax Racing menjadikan kegagalan pada saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 sebagai pengajaran berguna kepada mereka bagi menghadapi saingan musim 2012 ini.
Pada peringkat awal musim 2011, mereka mencatat beberapa kejayaan apabila Mohd Emir Fareez Hasan berjaya menaiki podium di tempat kedua pada Pusingan 3 (Kuala Terengganu) dan tangga ketiga pada pusingan berikutnya di Putrajaya.
Selepas dua kedudukan podium tersebut, segala tampak tidak menjadi apabila Emir Fareez sekadar menambah tujuh mata pada baki enam perlumbaan berikutnya. Begitu juga rakan sepasukannya, Mohd Solehin Mohd Sukor, yang sekadar menaiki podium di tempat ketiga pada perlumbaan Pusingan 6 (Alor Setar) walaupun seringkali memulakan perlumbaan di barisan hadapan pada setiap perlumbaan.
Namun bagi pengurus pasukan, Erwan Ahamad, keputusan mengecewakan itu dijadikan sebagai pengalaman yang sangat berharga kepada mereka.
"Pengurusan pasukan tidak begitu teratur pada penghujung musim. Kami kurang menitik-beratkan beberapa perkara terutama untuk menguruskan pelumba-pelumba dengan baik. Ini menjadi punca utama kenapa prestasi mereka semakin merosot pada penghujung musim. Saya akui kesilapan tersebut dan akan memperbaikinya pada musim ini."
Menceritakan tentang persiapan untuk menghadapi saingan musim baru ini, Erwan menjelaskan tumpuan mereka tetap kepada mengejar gelaran juara kategori Wira. "Pada musim ini harapan kami diletakkan di bahu Emir Fareez. Solehin pula akan beralih ke kategori CP115 atas tiket persendirian kerana dia telah melebihi had umur 17 tahun.
"Kami menggantikan tempat Solehin dengan dua pelumba baru iaitu Mohd Fitri Mohd Sukor dan juga Mohd Razmal Mohd Rohizad. Sebagai persediaan awal, kami sudah mula menjalani latihan bersama-sama terutama untuk membantu meningkatkan kecergasan fizikal dan juga mental mereka," jelasnya.
Sementara itu, Emir Fareez turut tidak sabar untuk memulakan saingan musim ini. "Pada tahun lepas mungkin nasib saya tidak begitu baik, saya sering terjatuh dan juga gagal untuk menamatkan perlumbaan.
"Jadi pada tahun ini saya akan berusaha memberi sepenuh tumpuan terhadap perlumbaan dan juga berharap semuanya akan bertambah baik pada tahun ini. Saya yakin dapat memberikan saingan sengit kepada pelumba-pelumba lain sebaik perlumbaan bermula nanti," jelas pelumba berusia 17 tahun itu.
Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd
No comments:
Post a Comment