Dua pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM beraksi cemerlang apabila muncul antara pelumba terpantas sesi ujian masa Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, hari ini.
Mohd Iskandar Raduan melakukan catatan terpantas dengan catatan 55.476s manakala rakannya, yang juga juara Wira 2011, Zulsyafiz Rosli di kedudukan ketiga dengan mencatatkan 55.721s.
Sementara itu, Mohd Azhar Abdul Jalil dari pasukan Motul YY Pang Racing di kedudukan kedua dengan catatan 55.655s.
"Catatan yang dilakukan pada sesi ujian masa hari ini agak baik namun saya tidak menyangka muncul pelumba terpantas pada sesi ujian masa hari ini. Apa yang saya ketahui, sebaik sesi ujian masa tamat, saya berada di kedudukan kedua di belakang Mohd Rozaliman Zakaria (Pachie Yuzy Honda Racing). Namun begitu, saya bernasib baik apabila catatan pesaing saya itu dibatalkan kerana gagal mematuhi peraturan teknikal perlumbaan, sekali gus meletakkan saya sebagai pelumba terpantas," jelas Iskandar yang beraksi bersama PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline pada musim lepas.
Menurut pelumba itu lagi, "Jika dibandingkan dengan sesi latihan bebas di sebelah pagi, saya cukup berpuas hati dengan catatan yang dilakukan kerana ia jauh lebih baik namun beberapa perubahan masih perlu dilakukan terutama di bahagian sprocket bagi menghadapi sesi saringan dan perlumbaan akhir nanti. Saya berharap dapat memulakan perlumbaan di barisan hadapan dan seterusnya dapat menjejakkan kaki di atas podium nanti," jelasnya.
Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd
No comments:
Post a Comment