jokisenja header

jokisenja header


Friday, March 30, 2012

JUARA CP115 RAMDAN, SHAHRIL BERGANDING BAHU DALAM KELAS PERDANA




Dua juara CP115, Mohd Ramdan Mohd Rosli dan Shahril Izzuwan Mohd Noor bakal bergandingan semula bagi mengharungi cabaran Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang akan membuka tirai di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang hujung minggu ini.

2012 merupakan musim ketiga kedua-dua pelumba ini bekerjasama di bawah kem PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM. Pada musim 2010, gandingan mereka membuahkan hasil cemerlang buat pasukan satelit PETRONAS ini apabila Ramdan mencipta rekod bergelar juara individu CP115 paling muda pada usia 14 tahun pada masa sama meraih anugerah berpasukan terbaik musim itu.

Masuk musim 2011 walaupun pelumba remaja tersebut beralih ke kategori CP130, kecemerlangan pasukan berjaya diteruskan oleh Shahril yang mengikut jejak rakan sepasukannya itu untuk meraih gelaran juara keseluruhan CP115 di samping turut membantu pasukannya mempertahankan gelaran pasukan terbaik dua tahun berturut-turut.

Walau bagaimanapun, tidak seperti rakan sepasukannya, Shahril bukanlah pendatang baru di dalam kategori tertinggi ini. Sebaliknya, dia pernah beraksi satu musim penuh kategori CP130/Expert pada tahun 2009 bersama pasukan Idemitsu Honda Racing.

Gembira, pengurus pasukan, Kenny Chua cukup yakin gandingan Ramdan dan Shahril merupakan formula tepat buat pasukan merebut gelaran juara individu dan berpasukan CP130 yang di dominasi oleh pasukan lain. "Sudah dua tahun kami mencatat keputusan cemerlang dalam kategori CP115 jadi sekarang sudah tiba masa untuk memenangi kategori CP130 pula. Ia bukan mustahil kerana Ramdan dan Shahril merupakan dua pelumba berbakat, muda dan bertenaga serta mampu memberi saingan kepada para-pelumba handalan lain."

Tambah Kenny lagi, "Walaupun yakin dengan kemampuan mereka, kami sepasukan tidak memandang mudah saingan musim ini. Sebaliknya, kami jangkakan banyak tekanan akan diterima daripada pesaing-pesaing lain, terutama pelumba senior yang jauh lebih berpengalaman."

Sementara itu, Ramdan, 16, yang menamatkan saingan musim 2011 di kedudukan ketujuh keseluruhan tidak sabar untuk kembali beraksi bersama Shahril, "Saya gembira kerana kembali bersama Shahril. Kami mempunyai hubungan yang sangat baik dan boleh bekerjasama tidak kira di dalam mahupun di luar litar dan saya percaya kami mampu melakukan sesuatu sebagaimana yang kami lakukan sewaktu beraksi di dalam kategori CP115. Apa yang perlu kami lakukan ketika ini adalah terus bekerja keras dan merancang strategi terbaik serta berusaha untuk mengurangkan kesilapan di samping berharap nasib  menyebelahi kami," jelas pelumba kelahiran Klang itu.

Sementara itu, Shahril tidak meletakkan sebarang harapan tinggi bagi perlumbaan hujung minggu ini. Dia menjelaskan, "Agak sukar untuk menjangkakan saingan hujung minggu ini tetapi saya memang teruja untuk memulakannya kerana Litar Stadium Batu Kawan merupakan kampung halaman saya. Kelebihan ini akan saya gunakan untuk membuktikan kebolehan bersaing dengan pelumba senior. Persediaan yang rapi turut meningkatkan keyakinan kami. Di samping pelarasan jentera yang mantap hasil usaha para mekanik, saya cukup bersedia dari segi fizikal dan mental. Memang tidak dapat dinafikan sedikit masa diperlukan sebelum sebelum saya boleh merebut podium tetapi saya tidak akan membiarkan ini menjadi isu berpanjangan," jelas Shahril yang berasal dari Pulau Pinang.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment