Pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 akan berlangsung. Seluruh kontinjen Cub Prix pastinya sudah tidak sabar untuk bergerak ke Stadium Batu Kawan, Seberang Perai, iaitu gelanggang pembuka musim tahun 2012 pada 31 Mac dan 1 April ini.
Tidak ketinggalan juga bagi pelumba-pelumba kategori Persendirian. Pendaftaran kategori Persendirian sudah mula dibuka dan mereka yang berminat perlu mendaftarkan nama dengan segera kepada Promoter Acara, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM).
Selepas berlangsung selama tiga tahun berturut-turut, kategori yang dianjurkan mengikut kemampuan pelumba-pelumba di lihat semakin mendapat tempat di kalangan peminat-peminat sukan pemotoran yang tidak ketinggalan mahu memperagakan aksi dan bakat mereka. Jelas, peserta kategori ini dilihat berada di landasan tepat apabila terdapat diantara mereka yang kini terpilih untuk beraksi bersama pasukan profesional.
Jadi berita baik buat pelumba-pelumba, SAM turut mengekalkan peraturan teknikal sedia ada bagi memastikan kos perlumbaan setiap pelumba kekal munasabah di samping mahu melihat kategori ini terus berkembang dan mendapat penyertaan menggalakkan.
Berpuas hati dengan peningkatan yang ditunjukkan saban tahun, Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg memberitahu, "Pengenalan dua sesi perlumbaan Persendirian yang membenarkan 48 pelumba berada di atas grid tahun lalu menjadi tanda aras baru kepada kategori ini. Peningkatan ketara ditunjukkan apabila 90 pelumba keseluruhan menyertai kategori ini berbanding hanya 47 pelumba pada 2010," kata Ron.
"Sewaktu kami memulakan kategori ini, tujuannya adalah untuk melihat ada diantaranya dapat membuktikan bakat mereka juga setanding dengan pelumba-pelumba kategori lain. Ia terbukti apabila ada diantaranya kini dapat beraksi bersama pasukan-pasukan ternama. Misalnya, naib juara 2011, Abdul Fhahmin Mutalib dan peserta tahun 2010, Mohd Syawal Mohd Noor kini mewakili PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline. Wan Mohd Hadri Wan Mukthar yang turut beraksi pada musim 2010 pula akan membawa cabaran Pachie Yuzy Honda Racing pada musim ini."
Ron turut menyatakan saingan musim ini pasti berbeza memandangkan tiga pelumba terbaik keseluruhan 2011, di mana juara, Wazir Abdul Razak diikuti Abdul Fhahmin Mutalib dan Ang Beng Seang tidak lagi dibenarkan beraksi pada musim 2012.
"Bagi memastikan saingan lebih adil dan bertambah sengit, Wazir, Fhahmin dan Ang akan beralih ke kategori lain, jadi pelumba-pelumba Persendirian tidak perlu bimbang mengenainya. Apa yang penting adalah untuk membuat pendaftaran dengan segera kerana penyertaan hanya dihadkan kepada 48 pelumba terawal sahaja."
Pendaftaran terbuka kepada pelumba berumur diantara 17 hingga 45 tahun yang memiliki lesen perlumbaan kelas "C" yang dikeluarkan oleh AAM/MAM sahaja. Penyertaan berdasarkan siapa yang membuat pendaftaran terawal dengan yuran penyertaan berjumlah RM100. Tarikh tutup penyertaan pada 26 Mac (Isnin). Kepada yang berminat, sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 pada waktu pejabat untuk membuat pendaftaran.
Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd
No comments:
Post a Comment