jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, November 30, 2011

EMIR MAHU AKHIRI MUSIM DENGAN KEJAYAAN




Mohd Emir Firdaus Hasan mahu menebus kekecewaan dengan meraih kejayaan pada pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 di Padang Kota Lama, Pulau Pinang 3 dan 4 Disember ini.

Didorong oleh kegagalan melayakkan diri ke perlumbaan akhir (DNQ) ketika di Melaka (Pusingan 8) dan Sepang (Pusingan 9), pelumba M-Seki Liberty Honda Racing itu berazam untuk menamatkan perlumbaan hujung minggu ini di hadapan Mohd Rozaliman Zakaria (ZAR Racing Motorsport) yang mampu menghalang misinya menamatkan musim ini di kedudukan ketiga keseluruhan.

Berada di tangga ketiga kategori CP115 pada masa ini dengan pungutan 95 mata, pelumba kelahiran Terengganu, Rozaliman sekadar satu mata mengatasi Emir yang menduduki tempat keempat dengan 94 mata. Tempat pertama menjadi  milik Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) di tangga teratas dengan 128 mata diikuti Zaidy Mohd Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang) kedua dengan 111 mata.

"Peluang merebut tempat kedua masih ada namun memandangkan Zaidy mempunyai kelebihan sebanyak 17 mata, risiko untuk mengejarnya agak tinggi jadi saya mengubah sasaran musim utuk menduduki tempat ketiga. Oleh itu adalah amat penting sekali untuk saya berada di hadapan Rozaliman pada perlumbaan akan datang kerana hanya satu mata yang membezakan kedudukan kami pada masa ini. Tiada ruang lagi  untuk melakukan sebarang kesilapan ini termasuk aspek teknikal ataupun kesilapan pasukan dan saya sendiri," jelas pelumba 22 tahun itu.

Emir turut percaya perubahan daripada litar yang lebar dan luas Sepang kepada litar sempit dan teknikal akan memberikan kelebihan kepadanya untuk menamatkan perlumbaan di atas podium.

Bercerita tentang harapannya pada kemuncak perlumbaan kali ini, Emir menambah, "Saya mempunyai perasaan baik untuk perlumbaan kali ini. Memandangkan kami berlumba di litar yang sempit, saya tidak perlu bimbang mengenai masalah berat badan saya sepertimana di Sepang. Tambahan pula, prestasi jentera Honda saya sama seperti pertengahan musim ketika saya memenangi perlumbaan di Putrajaya (Pusingan 4) dan dua kali di tempat kedua ketika di Alor Setar (Pusingan 6) dan Kluang (Pusingan 7). Mudah-mudahan kelebihan ini dapat membantu saya meraih podium di Pulau Pinang nanti.

Ketika di tanya mengenai strategi untuk perlumbaan terakhir musim ini, "Saya akan berusaha sedaya upaya pada perlumbaan ini untuk mencapai objektif saya. Di samping itu saya akan membuat perancangan bersama rakan sepasukan, Sasitharen Sukumaran. Sasi telah menunjukkan banyak peningkatan sejak kebelakangan ini dan saya mahu dia cuba menghalang pelumba-pelumba lain manakala saya memberi sepenuh perhatian untuk mendapatkan podium dan mengatasi Rozaliman," jelas Emir yang turut beraksi dalam kategori SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS bersama pasukan Boon Siew Honda Racing Malaysia.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment