jokisenja header

jokisenja header


Sunday, November 27, 2011

KLINIK MOTOR CUB PRIX PERCUMA KEPADA ORANG RAMAI


Bersempena dengan pusingan Grand Finale Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Padang Kota Lama, minggu depan, Promoter Kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) mengambil inisiatif menganjurkan Klinik Motor Cub Prix bersama Shahrol Yuzy Ahmad Zaini kepada orang ramai.

Klinik Motor Cub Prix ini akan diadakan secara percuma bertempat di  Dewan Sri Pinang, Lebuh Light pada 3 Disember (Sabtu) bermula jam 5.00 petang hingga 6.30 petang dan ia terbuka kepada peserta berumur 13 tahun dan ke atas.

Objektif utama penganjuran Klinik Motor Cub Prix ini adalah untuk mendidik orang ramai khususnya remaja terhadap sukan bermotor dan langkah-langkah betul yang boleh diambil untuk menyalurkan minat mereka. Cub Prix merupakan landasan terbaik untuk pendatang baru mencungkil bakat dan meneroka potensi yang ada pada mereka sekaligus dapat membantu melahirkan pelumba berbakat untuk sukan pemotoran negara pada masa akan datang.

Klinik Motor Cub Prix ini akan dikendalikan oleh bekas pelumba MotoGP, Shahrol Yuzy yang juga pengurus pasukan Pachie Yuzy Honda Racing. Program selama satu jam setengah ini akan memperkenalkan peserta kepada dunia sukan lumba motor, panduan mendapatkan lesen perlumbaan, keperluan asas dan peralatan perlumbaan, peraturan dan undang-undang, teknik perlumbaan serta sifat profesional yang perlu ada pada seorang pelumba.

Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg menggalakkan orang ramai khususnya remaja agar mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang sukan lumba motor. "Ia terbuka kepada semua dan dianjurkan secara percuma. Kepada remaja-remaja di Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Perak yang berminat ataupun ibu bapa sendiri dijemput untuk menyertai program ini," kata Ron.

Ron menambah, "Ini merupakan kali pertama kami mengadakan program seperti ini di Pulau Pinang dan peluang ini tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Sesi ini sangat menarik dan peserta juga turut dapat bersemuka dengan Shahrol Yuzy. Sebarang soalan mengenai perlumbaan boleh diajukan kepadanya dan peserta akan menerima jawapan yang dikehendaki daripada seorang pelumba yang berpengalaman."

Klinik Perlumbaan Cub Prix ini terbuka kepada 400 peserta sahaja. Pendaftaran sudah mula dibuka dan tarikh tutup pendaftaran pada 2 Disember jam 5.00 petang.  Mereka yang berminat boleh menghubungiSafe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 (waktu pejabat) ataupun melalui emel dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor telefon (telefon bimbit digalakkan) ke alamat info@twmr.com.my

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment