Saturday, November 12, 2011
MUHAIMIN CIPTA KEJUTAN CATAT MASA TERPANTAS
Abdul Muhaimin Roslan mencipta kejutan apabila muncul pelumba terpantas sesi ujian masa kategori CP130 pada Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Selatan), Sepang, hari ini.
Pelumba Yamaha Maju Motor Racing itu mencatatkan masa terpantas 1 minit 19.786 saat yang dilakukannya pada pusingan kelapan, 0.357s lebih pantas berbanding catatan ketika mendahului sesi latihan bebas kedua sebelum itu dengan catatan 1:20.143s.
Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing muncul pelumba kedua terpantas dengan catatan 1:19.936s manakala rakan sepasukan Azlan, Mohd Affendi Rosli ketiga, 1:20.030s.
Muhaimin yang tidak menyangka mampu mencatat masa terpantas berkata, "Sasaran utama saya pada hari ini hanyalah untuk melayakkan diri beraksi di peringkat Superpole. Lagipun catatan masa saya pada sesi latihan bebas pertama pada sebelah pagi yang berlangsung dalam keadaan litar basah agak jauh di belakang apabila saya ketinggalan 1.840s kepada Affendi yang muncul sebagai pelumba terpantas. Namun ketika sesi latihan bebas kedua, saya dapati keadaan jentera saya begitu baik dan mempunyai banyak kelebihan berbanding jentera lain terutama di laluan lurus dan juga di selekoh. Selepas itu saya tidak melakukan sebarang perubahan lagi, cuma membuat pertukaran spoket bagi menghadapi sesi ujian masa," jelas Muhaimin yang masih belum meraih sebarang gelaran juara pada musim ini.
Menjawab tentang sasaran pada perlumbaan esok, pelumba 20 tahun itu berkata, "Saya mahu mencatat kemenangan peribadi pertama untuk musim ini memandangkan selepas lapan pusingan, saya masih gagal meraih sebarang gelaran juara. Sebarang keadaan cuaca pada hari esok juga tidak membimbangkan saya kerana saya cukup yakin dengan kelebihan yang ada pada jentera saya," kata juara Novis musim 2008 itu.
Keputusan ini juga meletakkan Muhaimin akan bertindak sebagai pelumba terakhir untuk sesi Superpole esok.
Dalam kategori CP115, Sasitharen Sukumaren mahu menamatkan penantian untuk bergelar juara buat pertama kali pada musim ini apabila mengungguli sesi ujian masa dengan catatan terpantas 1:21.692s.
Shahril Izzuwan Mohd Noor dari pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM di kedudukan kedua dengan catatan 1:22.257s diikuti Mohd Rozaliman Zakaria (ZAR Racing Motorsport) ketiga, 1:22.832s.
Pelumba M-Seki Liberty Honda Racing yang juga naib juara Pusingan 8 di Melaka itu menjelaskan, "Saya memang yakin mampu untuk mencatat masa terpantas hari ini berdasarkan catatan yang saya lakukan ketika sesi ujian di sini pada minggu lepas. Malah catatan saya ketika itu lebih pantas daripada apa yang saya lakukan hari ini. Selepas melakukan catatan terpantas pada pusingan ketiga, kami mengambil keputusan supaya saya tidak meneruskannya lagi kerana mahu menjaga ketahanan enjin bagi menghadapi perlumbaan akhir nanti, Saya mahu meraih kemenangan pada perlumbaan kali ini kerana masih belum berjaya meraih sebarang gelaran juara setakat ini," jelas pelumba berusia 20 tahun itu.
Sementara itu, dalam kategori Wira, Mohd Khairul Adli Azhar muncul pelumba terpantas buat pertama kali pada musim ini dengan catatan 1:25.182s yang dilakukannya pada pusingan keenam.
Catatan pelumba Suzuki FortyOne Racing itu 0.201s lebih pantas berbanding catatan Nurahmad Fariznazreen dari pasukan Motul Yamaha YY Pang yang mencatatkan 1:25.383s. Juara Pusingan 8 di Melaka, Fakhrusy Syakirin Rostam (AAP Mazoil Faito Racing merekodkan catatan ketiga terpantas dengan masa 1:26.035s.
Adli, 17 tahun menjelaskan, "Catatan yang dilakukan hari ini masih tidak begitu baik namun ia sudah memadai untuk sesi ujian masa pada hari ini. Saya yakin mampu untuk mencatat masa yang lebih pantas lagi pada ujian saringan hari esok. Pada pusingan lepas di Melaka, saya gagal untuk mencapai keputusan yang baik kerana jentera saya mengalami masalah di bahagian brek dan ia sudahpun diatasi oleh mekanik pasukan," jelas Adli yang mengidamkan kemenangan pertamanya untuk musim ini pada perlumbaan kali ini.
Dalam kategori Piala Yamaha EgoLC PETRONAS, Mohd Shafiq Rasol muncul pelumba terpantas dengan catatan 1:42.087s yang dilakukannya pada pusngan ketiga. Pesaing terdekatnya, Mohd Nasri Ishak di kedudukan kedua dengan catatan 1:43.905s dan Mohd Amirul Rasol ketiga, 1:44.179s.
Kategori Cabaran Honda Wave pula dikuasai oleh Suhaizarul Suhaizat apabila pelumba itu mencatatkan masa terpantas 1:32.098s diikuti Mohd Zulfakri Rosli, 1:33.253s dan Mohd Firdaus Zainol ketiga dengan catatan 1:34.126s.
Gelaran juara keseluruhan kategori Persendirian yang sudah menjadi miliknya tidak menghalang Wazir Abdul Razak untuk muncul pelumba terpantas apabila mencatatkan 1:29.612s diikuti Mohd Haziri Othman kedua dengan 1:30.556s dan Ang Beng Seang ketiga, 1:30.592s.
Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment