jokisenja header

jokisenja header


Monday, November 14, 2011

Zulsyafiz juarai Wira


ZULSYAFIZ Rosli bukan sahaja gembira kerana berjaya menjejakkan kaki di atas podium, malah turut mengesahkan gelaran juara keseluruhan kategori Wira pada perlumbaan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Selatan), semalam.
Pelumba Mos Malaysia Racing itu menamatkan perlumbaan sembilan pusingan di kedudukan ketiga dengan masa keseluruhan 12 minit 59.207 saat.

16 mata yang diperoleh, dia kini mengumpul 152 mata, 32 mata mengatasi Mohd Hafiza Roza (Faito YSP Racing) yang berada di kedudukan kedua dengan 120 mata.
“Sasaran saya hanyalah untuk mengutip mata bagi mengukuhkan lagi kedudukan saya di tangga teratas namun setelah pesaing utama saya, Adib gagal beraksi di pusingan akhir, keyakinan saya mula bertambah dan saya sedar jika berjaya meraih kedudukan podium saya akan bergelar juara keseluruhan,” katanya.

Perlumbaan dimenangi Mohd Khairul Azhar dari pasukan Suzuki Fortyone Racing dengan masa keseluruhan 12:59.207s diikuti Hafiza di tempat kedua, 12:59.532s.

Sementara itu, penentuan gelaran juara keseluruhan CP130 berterusan sehingga ke Pusingan 10 apabila pendahulu keseluruhan, Norizman Ismail dari pasukan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima untuk memungut tambahan 11 mata menjadikan 113 mata keseluruhan.
Perlumbaan 13 pusingan yang berlangsung dalam keadaan hujan dimenangi oleh rakan sepasukannya, Mohd Affendi Rosli dengan masa keseluruhan 19:58.427s sekali gus menghidupkan peluangnya untuk mengejar kedudukan Norizman di tangga teratas. Tempat kedua dimenangi oleh Abdul Muhaimin Roslan dari pasukan Yamaha Maju Motor Racing 19:58.467s diikuti Mohd Zamri Baba (Petronas Syntium Moto Yamaha AHM), 19:58.532s.

Affendi kini sekadar sembilan mata ketinggalan kepada Norizman dengan mengumpul 104 mata manakala Muhaimin naik ke kedudukan ketiga dengan mengumpul 88 mata.
Kemenangan Affendi membantu Harian Metro TEQ SCK Honda Racing mengesahkan gelaran Anugerah Berpasukan Keseluruhan menjadi milik mereka dengan mengumpul 209 mata diikuti pasukan Yamaha Maju Motor Racing kedua, 158 mata dan Petronas Syntium Moto Yamaha AHM ketiga, 157 mata.

“Setelah lama menunggu akhirnya saya berjaya meraih kemenangan pertama saya dan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan kerana telah menyediakan jentera yang menjadi penyumbang utama kepada kejayaan saya hari ini,” kata juara Novis 2007 itu.

Dalam kategori CP115, Mohd Rozaliman Zakaria berjaya meraih kemenangan pertamanya diikuti Mohd Rozaiman Mohd Said kedua, 15:47.755s dan Shahril Izzuwan Mohd Noor (Petronas Syntium Moto Yamaha AHM) ketiga, 15:53.591s.

Pusingan ke-10 akan berlangsung di Padang Kota Lama, Pulau Pinang pada 3 dan 4 Disember depan.

No comments:

Post a Comment