jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, November 23, 2011

PELUMBA UTARA SEDIA TAWAN PADANG KOTA LAMA

Pelumba-pelumba utara tanah air kini bersedia dan bersemangat untuk mempamer aksi terbaik mereka pada pusingan penutup tirai musim 2011 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang bakal berlangsung di Padang Kota Lama, Pulau Pinang, 3 dan 4 Disember ini.

Pusingan ke-10 ini dijangka sengit memandangkan tidak ada seorang pun daripada para pelumba ini pernah memenangi perlumbaan di Padang Kota Lama sejak ia mula diperkenalkan ke dalam kalendar Cub Prix pada tahun 2009. Diantara mereka ialah Elly Idzlianizar Ilias (Global Bike Rock Oil Racing), Ahmad Fazli Sham dan Ahmad Fazrul Sham (Pennzoil Racing Malaysia)yang beraksi di dalam kategori CP130, pelumba CP115 Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM), Zaidy Mohd Zaifaizal dan Mohd Rozaiman Mohd Said dari Motul Yamaha YY Pang serta Emir Firdaus Hasan (M-Seki Liberty Honda Racing). 

Sementara itu, pelumba utara yang beraksi dalam kategori Wira pula terdiri daripada Mohd Emir Fareez Hasan dan Mohd Solehin Mohd Sukor (Honda Promax X-Dot Racing), Mohd Amin Azahar (MOS Malaysia Racing), Nurahmad Fariznazreen (Motul Yamaha YY Pang Racing) dan Mohd Razmal Mohd Rohizad.

Dua musim lepas pelumba kelahiran Selangor, Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) muncul juara kategori CP130 (Expert) manakala Mohd Farid Ahmad yang mewakili Modenas Yuzy Pachi Racing memenangi CP115 (Novis) pada tahun 2009 dan Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) begelar juara CP115 di sini musim lalu. Mohd Azhar Abdul Jalil (Motul Yamaha YY Pang Racing) pula cemerlang di dalam kategori Wira apabila merampas kemenangan dua tahun berturut-turut.

Pengarah Promosi Promoter Kejuaraan Safe Aim Mutual Sdn bhd (SAM), Ron Hogg berkata, "Sepanjang sembilan pusingan yang telah berlalu kita telah melihat tujuh pemenang berbeza dalam kelas CP130 manakala Shahril dan Zaidy pula saling bertukar kedudukan pendahulu dalam carta keseluruhan CP115.  Selain itu, walaupun Zulsyafiz Rosli  (MOS Malaysia Racing) telah memenangi gelaran Wira musim ini, saya tidak fikir dia akan memandang mudah perlumbaan minggu depan. 

"Berdasarkan ini serta sebuah perlumbaan menarik di Sepang awal November lalu apabila tiga pengeluar berbeza Honda, Yamaha dan Suzuki memenangi tiga kelas utama, saya yakin perlumbaan akhir 2011 ini pasti sengit dan mendebarkan terutamanya dengan kehadiran ramai pelumba utara yang belum pernah mengecapi kejayaan di Padang Kota Lama," katanya.

Tambahan lagi, penyertaan dalam kategori Persendirian turut dijangka meningkat. Setakat ini, seramai 33 pelumba telah pun membuat pendaftaran awal berbanding tarikh akhir 28 November dan lebih ramai lagi yang akan membuat pendaftaran selepas ini. Jumlah penyertaan tertinggi dalam kategori Persendirian ialah seramai 47 pelumba pada Pusingan 2 di Batu Kawan.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment