jokisenja header

jokisenja header

Thursday, August 18, 2011

PUASA TIDAK HALANG HAFIZH JALANI LATIHAN




Hafizh Syahrin Abdullah tetap menjalani latihan sepanjang bulan Ramadan sebagai persediaan untuk menghadapi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS yang akan berlangsung pada September ini.

Pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline itu berkata, sepanjang bulan Ramadan ini dia memberi tumpuan kepada latihan fizikal bagi mengekalkan tahap kecergasannya untuk menghadapi dua Kejuaraan utama itu.

Hafizh yang beraksi dalam kategori Supersports 600cc di ARRC PETRONAS menjelaskan "Pusingan 4 ARRC PETRONAS akan berlangsung di Jepun hanya seminggu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. Dua minggu selepas itu pula kami akan menghadapi Kejuaraan Cub Prix.

"Walaupun agak penat kerana berpuasa, saya akan menjalani latihan fizikal seperti berjoging pada setiap petang di kawasan taman berhampiran rumah saya. Selalunya saya akan berjoging selama sejam bermula jam 6 petang dan selepas itu akan pulang ke rumah untuk berbuka puasa," kata pelumba 17 tahun itu.

"Selain berjoging, saya akan melakukan aktiviti berbasikal pada waktu malam dengan jarak tidak kurang daripada 40 kilometer. Selalunya aktiviti ini dijalankan pada setiap Ahad namun di bulan puasa ini kami beralih pada waktu malam," jelas Hafizh yang turut beraksi dalam Kejuaraan Australian Formula Xtreme.

Menjelaskan tentang pencapaiannya di Kejuaraan Australian Formula Xtreme, Hafizh berkata, "Pencapaian saya agak baik. Pada perlumbaan pusingan pertama saya berjaya muncul juara, begitu juga di pusingan ketiga. Namun saya sekadar berada di kedudukan keempat keseluruhan memandangkan saya tidak beraksi di pusingan kedua atas sebab-sebab tidak dapat dielakkan," jelasnya.

Menyentuh tentang pencapaiannya di Cub Prix pula, Hafizh yang hanya menyertai musim  ini di Pusingan 5 (Teluk Intan) berkata dia mengambil keputusan untuk menghabiskan kesemua baki perlumbaan musim ini. 

"Saya mahu membantu meningkatkan kedudukan keseluruhan pasukan saya yang agak ketinggalan pada ketika ini. Kini kedudukan pasukan kami adalah ditangga ketujuh dengan pungutan 71 mata, 30 mata terpisah dengan Yamaha Maju Motor Racing berada di kedudukan ketiga dengan 101 mata. Saya yakin kami boleh merapatkan jurang mata.

"Untuk mengekalkan gelaran juara pada musim lalu mungkin agak sukar memandangkan saya tidak beraksi pada empat pusingan awal, kini saya hanya mahu menumpukan sepenuh perhatian untuk mengutip sebanyak mata yang mungkin untuk membantu pasukan selain cuba untuk menambah koleksi kemenangan peribadi," jelas Hafizh yang muncul pemenang tempat ketiga di Alor Setar, bulan lepas.


Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment