jokisenja header

jokisenja header

Wednesday, June 29, 2011

PEREBUTAN TAKHTA KEJUARAAN MASIH TERBUKA


Selepas lima pusingan, persaingan dalam kategori CP130, CP115 dan Wira Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 bertambah sengit dan perebutan takhta dikalangan pelumba-pelumba masih terbuka.

Lima pusingan sebelum ini berlangsung dengan jayanya iaitu di Kangar (Pusingan 1), Batu Kawan (Pusingan 2), Terengganu (Pusingan 3), Putrajaya (Pusingan 4) dan terbaru Pusingan 5 di Teluk Intan sebelum berhenti rehat selama tiga minggu dan akan bersambung pada Pusingan 6 di Alor Setar, 22 dan 23 Julai depan.

Perlumbaan minggu lepas menyaksikan persaingan dalam kategori utama begitu sengit dan semakin mencabar. Kehadiran semula juara bertahan, Hafizh Syahrin Abdullah dan Mohd Ramdan Mohd Rosli yang baru pulih daripada kecederaan kaki turut menjadikan persaingan kategori CP130 semakin menarik.

Ketika di Teluk Intan, kedua-dua pelumba muda ini bersaing sengit dengan dua pelumba berpengalaman, Norizman Ismail dan Mohd Zamri Baba. Namun pada aksi perlumbaan akhir, nasib tidak menyebelahi Hafizh manakala Norizman pula menggunakan segala pengalaman yang ada untuk menyekat Hafizh daripada mendahului perlumbaan dengan mudah.

Dengan itu, tahap persaingan pada CP130 semakin sengit sekaligus meningkatkan daya saingan dan skil pelumba malah turut menyaksikan persaingan sengit diantara dua pengeluar iaitu Yamaha dan Honda. Setakat ini Honda memenangi tiga daripada perlumbaan dan bakinya menjadi milik Yamaha manakala Norizman dari pasukan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing sedang mendahului kedudukan keseluruhan dengan 79 mata.

Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), Ron Hogg percaya persaingan sengit Kejuaraan ini tidak hanya melibatkan kategori CP130. Dia berkata, "Peluang dalam kategori CP115 juga masih terbuka dan saya pasti muka-muka berbeza mampu memenangi baki perlumbaan musim ini. Namun, siapa yang dapat mempamerkan prestasi konsisten mempunyai peluang cerah untuk membawa pulang gelaran musim ini."

Ron menambah, "Selain kategori CP115, dalam kelas Wira Bawah-17 pula, pelumba-pelumba pelapis seperti  Mohd Hafiza Rofa, Zulsyafiz Rosli dan Nurahmad Fariznazreen mempamerkan prestasi baik untuk mencabar juara bertahan, Mohd Adib Rosley. Apa yang boleh saya katakan adalah Cub Prix berada di landasan yang betul untuk melahirkan lebih ramai pelumba-pelumba berkebolehan memandangkan penyertaan yang diterima dalam kategori ini begitu ramai."

"Apa yang kami harapkan agar lebih ramai remaja akan turut mengambil bahagian dan semoga bakat-bakat muda akan terus dicungkil. Ketika ini seramai 170 pelumba akan menyertai perlumbaan pada setiap pusingan dan walaupun jumlahnya tidak begitu besar, namun kami berada pada landasan yang tepat untuk terus melahirkan pelumba-pelumba berbakat," jelas Ron yang kagum dengan 35,000 pengunjung yang hadir  di Teluk Intan.


Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

1 comment:

  1. sangat hampa kali ni sbb kemalangan berlaku seawal pusingan pertama d selekoh pertama..
    lpas tu perlumbaan dh jadi kurang menarik..

    ReplyDelete