jokisenja header

jokisenja header

Sunday, June 26, 2011

HAFIZH KEMBALI BERAKSI


Selepas tiga bulan mengundur diri, Hafizh Syahrin Abdullah mengambil keputusan untuk kembali beraksi di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 bermula Pusingan 5 di Teluk Intan, Perak minggu ini.


Hafizh yang mencipta nama sebagai pelumba termuda menjuarai kategori CP130 ketika berusia 16 tahun musim lepas berharap kepulangannya membawa harapan buat pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline untuk mengharungi baki saingan musim ini. Dia akan beraksi bersama Mohd Iskandar Raduan dan Ahmad Nashrul Baharudin dalam kategori CP130.

Sebelum ini, Hafizh sibuk membangunkan kariernya dalam kategori SuperSports 600cc dengan mengambil bahagian dalam Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC), Super Siri Malaysia (MSS) dan juga Kejuaraan Formula Ekstreme Australia di Australia.

"Memang betul saya akan kembali berlumba minggu ini. Saya begitu teruja memandangkan pada pusingan sebelum ini saya hanya memberi bantuan dan panduan kepada pelumba lain untuk memperbaiki teknik tunggangan mereka selain turut menjalankan tugas menguruskan pasukan. Saya tidak sabar untuk beraksi semula," kata pelumba kelahiran Ampang itu.

Bercakap mengenai peluang untuk mempertahankan gelaran miliknya, Hafizh berkata, "Susah untuk memperkatakannya memandangkan saya terlepas empat pusingan sebelum ini dan Norizman Ismail (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) kini sedang mendahului dengan 54 mata. Ia satu jurang yang agak besar namun peluang untuk mengejarnya tetap ada selagi saya dapat menamatkan perlumbaan di atas podium secara konsisten dan memenangi seberapa banyak pusingan yang mampu. Saya akan bekerja keras untuk melakukannya."

Sementara itu, pengurus pasukan, Barry Leong menjelaskan sebab kenapa Hafizh kembali beraksi di Cub Prix dengan berkata, "Melihat kepada jadual Hafizh pada separuh masa kedua musim 2011 ini, dia mempunyai banyak masa terluang. Daripada masa tersebut terbuang begitu sahaja lebih baik dia kembali beraksi di pentas Cub Prix. Walaupun tumpuannya lebih berarah kepada jentera 600cc, namun perlumbaan seperti ini tetap baik untuk pembangunan kariernya.  Selain itu, Hafizh juga begitu ingin kembali beraksi di Cub Prix."

Barry menambah tentang harapan dan sasarannya terhadap Hafizh, "Kami mahu dia berada di kelompok hadapan. Saya rasa ia tidak menjadi satu masalah memandangkan Hafizh masih menjalani latihan menggunakan jentera underbone.  

"Sasaran kami pula bergantung kepada prestasi pada setiap pusingan selepas ini. Sudah tentu kami mahu dia mengulangi kejayaan musim lepas namun Hafizh telah terlepas empat pusingan. Tambahan pula kami perlu berhati-hati dengan kemampuan pasukan-pasukan Honda kerana mereka telah menunjukkan peningkatan yang begitu ketara. Namun, saya tetap percaya Hafizh mampu untuk memberikan tentangan hebat kepada pelumba-pelumba lain," katanya.

Dengan Norizman muncul pendahulu kategori CP130, rakan pasukannya Mohd Affendi Rosli pula berada di kedudukan kedua dengan 48 mata diikuti Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing) ketiga dengan 46 mata.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment