jokisenja header

jokisenja header

Thursday, June 16, 2011



 
Cub Prix menghampiri pertengahan musim apabila pusingan kelima berlangsung di Teluk Intan pada 25-26 Jun.

Saingan semakin ketat apabila Kejuaraan Cub Prix AAM  Malaysia PETRONAS 2011 menghampiri separuh musim kedua dengan pelaksanaan Pusingan 5 di Teluk Intan, Perak pada 25 hingga 26 Jun ini. 

Selaku tuan-rumah buat kali kedua, perlumbaan di Teluk Intan amat penting sekali buat para pelumba kerana ia bakal menentukan siapa yang layak untuk mengejar makhota keseluruhan.

Setakat ini, saingan kategori CP130 telah menyaksikan empat pemenang berbeza. Pelumba berusia 16 tahun, Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) memenangi pusingan pembukaan di Kangar manakala Pusingan 2 di Batu Kawan dikuasai Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing).
Pelumba Harian Metro TEQ SCK Honda Racing, Azlan Shah Kamaruzaman dan sepasukan, Norizman Ismail pula meraih kejayaan podium pertama di Kuala Terenganu (Pusingan 3) dan Putrajaya (Pusingan 4) masing-masing.

Menjelang Pusingan 5 minggu hadapan, Norizman mempunyai kelebihan enam mata selaku pendahulu dengan 54 mata setakat ini. Rakan sepasukan, Mohd Affendi Rosli pula berada di tangga kedua dengan 48 mata manakala juara 2007 dan 2008, Fazli di kedudukan ketiga, 46 mata. Walaupun gagal menamatkan perlumbaan lalu, Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) masih mampu untuk berada di kedudukan keempat dengan 44 mata.

Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), Ron Hogg berkata pusingan di Teluk Intan ini bakal menyaksikan persaingan sengit terutamanya di dalam kategori CP130. “Perebutan takhta kejuaraan semakin hebat dan setakat ini, kedudukan pendahulu seringkali bertukar tangan bermula dari Ramdan dikuti Fazli, Muhaimin dan Norizman. Jurang mata juga begitu hampir apabila hanya 10 mata membezakan mereka berempat. Siapa dapat menguasai pusingan akan datang berpeluang untuk mengubah situasi ini,” ujar Ron.

“Saya akui Cub Prix semakin menarik dan semakin sukar dijangka dan saya turut percaya saingan bukan sekadar di kalangan empat pelumba ini. Pelumba yang gagal beraksi dengan baik ketika di Putrajaya pasti akan bekerja keras dan menebus kehampaan serta kegagalan yang dialami. Saya menjangkakan Pusingan 5 ini akan menyajikan cabaran yang cukup menarik dan peminat-peminat tidak seharusnya melepaskan peluang untuk melihat mereka berlumba,” jelas Ron.

Dalam kategori CP115 pula, Zaidy Mohd Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang) berada di kedudukan teratas dengan 76 mata, 15 mata mendahului Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syantium Moto Yamaha AHM) di kedudukan kedua dengan 61 mata.

Sementara itu di dalam kategori Wira, pelumba Faito YSP Racing, Mohd Hafiza Rofa menguasai perlumbaan kategori Bawah-17 itu dengan 75 mata diikuti Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) dan Nurahmad Fariznazreen (Motul Yamaha YY Pang) masing-masing dengan 64 mata dan 59 mata.

No comments:

Post a Comment