jokisenja header

jokisenja header


Friday, June 24, 2011

Cuma 1 sen untuk 1 kilometer

CTric Mengguna Pakai Model Modenas CT




PENGENALAN motosikal menggunakan sumber elektrik dikatakan bermula sejak tahun 1860-an. Ketika itu, sudah ada paten motosikal berasaskan sumber alternatif. Namun begitu, tiada rekod rasmi mengenainya.
Hanya pada tahun 1941, ada rekod mendakwa Earle Williams dari Amerika Syarikat (AS) melakukan pengubahsuaian sebuah motosikal dengan enjin konvensional menjadi motosikal elektrik.
Setahun selepas itu, firma Australia iaitu Socovel mengeluarkan kira-kira 400 unit motosikal elektrik buatan sendiri. Pendorong penciptaan motosikal hijau pada waktu itu dikaitkan dengan senario kenaikan harga minyak global.
Peugeot Motocycles menjadi syarikat pertama melaksanakan pengeluaran skuter elektrik berskala besar-besaran pada tahun 1996. Dikenali sebagai Scoot'elec, ia berjaya mencatat jualan sebanyak 3,500 unit sebelum pengeluarannya dihentikan pada tahun 2006. Model pengganti Scoot'elec dikatakan bakal dilancarkan pada tahun ini.
Tanggal 16 Jun lalu, landskap industri motosikal tempatan mengalami pembaharuan apabila Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) melancarkan model motosikal elektriknya, CTric.
Jentera beroda dua elektrik pertama negara itu berjaya memenuhi standard piawaian motosikal elektrik SIRIM iaitu MS2413. Harus tahu bahawa CTric diuji berdasarkan piawaian ujian Japan Industrial Standard (JIS).
MS2413 yang diperkenalkan pada 7 April lalu merupakan piawaian khusus untuk motosikal elektrik dan tidak membabitkan basikal elektrik. Terdapat tiga bahagian utama terkandung di dalamnya iaitu spesifikasi umum, keselamatan dan ujian prestasi.
Antara syarat yang perlu dipatuhi ialah CTric perlu memiliki prestasi sama dengan motosikal enjin pembakaran dalaman (combustion engine) dengan kelajuan melebihi 50 kilometer/sejam (km/j). Ia juga perlu berupaya menaiki cerun pada sudut 20 darjah.
.
Selain itu, harga motosikal elektrik perlu 2.5 sehingga tiga kali ganda harga motosikal berenjin biasa. Faktor itu, akan menyebabkan harga motosikal hijau lebih mahal berbanding motosikal menggunakan petrol sebagai sumber tenaga
Jadi Modenas memerlukan formula agar motosikal itu lebih mampu dimiliki. Jawapannya terletak pada penggunaan bateri asid plumbum 12V/20AH berasaskan teknologi Nano Gel, berbanding mengguna pakai bateri lithium ion polimer.
Ini dapat mengurangkan harga motosikal kerana pemilihan bateri asid plumbum 12V/20AH jauh lebih murah berbanding bateri lithium ion polimer. Murah bukannya tidak berkualiti. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya.
Pengurus Penyelidikan dan Pembangunan Modenas, Ahmad Sabandi Othman berkata, walaupun bateri lithium ion polimer memiliki jangka hayat lebih lama dan berprestasi tinggi, ia juga mudah meletup apabila terlebih cas atau sewaktu nyah cas bateri dilakukan.
“Kelemahan kedua-dua jenis bateri ini dan kenderaan elektrik adalah ia tidak dapat bergerak jauh (secara berterusan) berbanding enjin pembakaran dalaman. Motosikal elektrik juga memerlukan masa mengecas yang lama. Paling minimum ialah tiga jam,” katanya dalam satu taklimat CTric.
Motosikal CTric dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha di Shah Alam baru-baru ini. Beliau menyatakan ada tiga lagi pembuat tempatan termasuk pengimport motosikal berada dalam proses mendapat kelulusan memasarkan motosikal elektrik mereka.
Berdasarkan model CT
CTric dibina berdasarkan model motosikal petrol Modenas iaitu CT. Malah nama CTric merupakan gabungan model CT dan elektrik. Enjin petrol pada model CT ditukar kepada motor yang digerak menggunakan kuasa elektrik.
Sumber penggerak motosikal seberat 114 kilogram (kg) itu diperoleh menerusi lima unit bateri dengan kapasiti 1,200Wh. Tenaga disalurkan kepada Motor Arus Terus Tanpa Sesentuh berkuasa 3.60kW @ 80km/j. CTric menggunakan transmisi automatik.
Pemilihan model CT sememangnya tepat. Model tersebut merupakan produk paling laris Modenas buat masa ini. Sejak model CT110 dan CT100 diperkenalkan pada November 2009 dan Januari 2010, jualan terkumpul kedua-model itu sudah melebihi 40,000 unit sehingga Mac 2011. Jumlah pendaftaran semua model motosikal Modenas sejak tahun 1996 sehingga April lalu sudah melebihi 1.1 juta unit.

BATERI ditempatkan di bawah tempat duduk dan di belakang roda hadapan.


Ahmad Sabandi berkata, bateri CTric boleh dicas menerusi soket tiga pin seperti yang digunakan di rumah. Apabila bateri sudah dicas penuh, sumber elektrik akan diputuskan secara automatik. Ini membolehkan bateri tersebut memiliki jangka hayat lebih lama.
Dua mode mengecas disediakan. Mode pantas selama 3.5 jam dan lapan jam untuk pengecasan normal. Jarak tunggangan setiap kali caj penuh ialah 60 kilometer (km) dengan tunggangan pada kelajuan purata 30km/j. Had laju CTric mampu mencapai 70km/j.
Kos untuk setiap km ialah satu sen berbanding petrol sebanyak lima sen satu km. Setiap unit bateri memiliki jangka hayat kira-kira dua tahun atau jarak perbatuan 32,000km (mana-mana yang tiba dahulu).
Modenas CTric turut diuji apabila ditenggelami air pada paras ketinggian 25 sentimeter (sm) iaitu lebih 15 sm berbanding standard yang ditetapkan. Jentera itu kemudiannya diuji dalam saluran air sepanjang 500 meter.
Hasilnya, keseluruhan rangkaian kuasa adalah kalis air.
Ketua Eksekutif Modenas, Abd. Halim Ismail memberitahu, model tersebut disasarkan kepada para pengguna di bandar. Pada peringkat awal, pengeluaran sebanyak 700 unit sebulan akan dibuat.
“Sebanyak 500 unit untuk pasaran domestik dan selebihnya untuk tujuan eksport. Eksport pertama sebanyak 100 unit ke Iran akan dilaksanakan menjelang akhir bulan ini,” katanya yang memberitahu CTric turut menarik minat beberapa negara lain termasuklah Eropah dan Korea.
Sistem operasi CTric

TERMINAL pengecasan ditempatkan di bahagian kiri kunci penghidup motosikal.


Untuk menghidupkan CTric, kunci harus dimasukkan terlebih dahulu, sebelum tongkat motosikal dinaikkan. Tongkat tersebut dilengkapi alat pengesan (sensor) keselamatan untuk mengelakkan berlaku pergerakan secara tidak sengaja.
Tiga mod disediakan iaitu D untuk tunggangan, N (neutral) dan R bagi mengundur. Pulas pendikit dan jentera akan bergerak. Perbezaannya terletak pada mod R. Jika ingin mengundurkan motosikal, pilih mod R dan anda perlu menekan butang REV sewaktu memulas pendikit.
CTric ditawarkan pada harga RM4,888 seunit, termasuk cukai jalan dan insurans. Menarik bukan? Harganya hampir menyamai beberapa jenama motosikal enjin konvensional yang ada di pasaran sekarang.
Usaha Modenas dalam merealisasi motosikal berasaskan teknologi hijau membuktikan kemampuannya untuk mencetuskan kelainan dalam industri, selain menonjolkan produk negara di persada antarabangsa.

3 comments:

  1. woo..
    menarik..
    tapi tahap kelajuan tu cuma sesuai tuk jarak dekat je..
    hehe..:D

    ReplyDelete
  2. TERBAIKLAH... TP JGN LUPE PASARKAN ALAT GANTI KERANA KEMUNGKINAN ALAT GANTI SUSAH DIDAPATI KECUALI DI PUSAT SERVIS MODENAS. AL MAKLUMLAH MOTO CTric NI X LEH JALAN JAUH.

    ReplyDelete