jokisenja header

jokisenja header


Thursday, February 17, 2011

Reka bentuk futuristik Ducati Multistrada 1200


APABILA Kumpulan Syarikat Naza (Naza) membawa masuk motosikal dwiguna keluaran Itali, Ducati Multistrada 1200 pertengahan tahun lalu ke pasaran Malaysia, ia sememangnya menjadi idaman setiap peminat jenama itu yang sinonim dengan jolokan ‘Ferarri dua roda’.
Multistrada merupakan jentera 4 dalam 1 dengan menggabungkan empat gaya tunggangan - sport, sport, touring, urban dan enduro - dengan hanya menekan butang.
Sebagai contoh, mod tunggangan yang boleh diubah secara terus sama ada pilihan prestasi seperti superbike semasa melalui selekoh-selekoh tajam, menikmati perjalanan jauh yang sebenar di lebuh raya di seluruh negara, kawalan yang mudah di dalam kesibukan kota sesuai untuk ke pejabat dan laluan lasak termasuk di laluan-laluan balak seperti di Borneo.
Reka bentuknya yang futuristik mampu menarik perhatian di mana sahaja ia berada.
Dengan kuasa maksimum 150 kuasa kuda (hp) @ 9,250 rpm dan kuasa kilas 118.7 Nm @ 7,500 rpm, ia sememangnya motosikal yang berkuasa pada kelasnya.
Kuasa-kuasa itu datangnya daripada nadinya yang ditala semula dari superbike juara dunia, Ducati 1198 iaitu versi enjin Testastretta 1.2 liter dengan silinder berkembar L, empat injap setiap silinder, Desmodromic dan penyejuk cecair.
Menunggang jentera yang fizikalnya tinggi dan mungkin agak gayat kepada mereka yang kurang selesa dengan ketinggian sememangnya mengujakan kerana anda akan berasa ‘selamat’ di atasnya dengan pemandangan depan yang lebih jelas dan luas.
Dengan roda aloi ringan 10 ruji depan dan belakang bersaiz17 inci, ia menyumbang kepada ketinggian tersebut. Jadi bagi mereka yang ketinggiannya kurang 160 sentimeter, perlu berfikir semula sebelum memiliki jentera tersohor dari Itali ini.
Model ini mula dipertontonkan kepada umum semasa Pameran Motosikal Antarabangsa Milan 2009 memiliki ciri-ciri yang lengkap kepada mereka yang cenderung kepada motosikal dwiguna.
Ride-by-Wire
Mempertaruhkan penggunaan teknologi Ride-by-Wire (RbW) yang merupakan sistem elektronik yang menghubungkan antara twistgrip dan enjin, membolehkan ia menentukan tahap respons kuasa yang mengkagumkan bergantung kepada mod tunggangan yang dipilih selain input pendikit yang ditentukan penunggang.
Nadi Testastretta 1,200cc dengan silinder berkembar L yang amat berkuasa.
Teknologi ini tidak memerlukan kabel pendikit seperti motosikal konvensional yang disambung dengan ‘pintu butterflies’ pada throttle body sebaliknya ia menyalurkan isyarat kepada unit kawalan komputer yang menentukan operasi buka tutup butterflies dengan lebih cekap, pantas dan tepat.
Maka tidak hairanlah dengan dibantu sistem transmisi basah, klac hidraulik pelbagai plat dengan silinder jejari utama, anjakannya amat ketara dapat dirasai bermula pada transmisi dua hingga enam. Ia seolah-olah mampu meluncur tanpa batas di jalan raya walaupun pada transmisi maksimum.
Selain kuasa nadi dan kilas, kawalan tarikan dan pemilihan suspensi mengikut mod juga adalah secara elektronik supaya ia sesuai dengan kehendak penunggang mengikut permukaan jalan raya yang dilalui.
Satu lagi keunikan Multistarada ini ialah penggunaan sistem tanpa kunci bagi menghidupkan enjinnya. Butang penghidup enjin juga unik dengan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan berbanding motosikal berkuasa tinggi yang lain.
Suspensi Ohlins
Model 1200S ini didatangkan dengan Sistem Brek Anti Kekunci (ABS) dan Suspensi Elektronik Ducati oleh Ohlins sebagai kelengkapan standard. Tekanan dan pantulan suspensi Ohlins dikawal sepenuhnya secara elektronik.
Ohlins adalah jenama pengeluar terkenal dalam dunia permotoran berprestasi tinggi yang berpusat di Stockholm, Sweden.
Selain itu model ‘Sport’ ini didatangkan dengan bahagian-bahagian gentian karbon bagi membezakannya dengan model standard.
Harga jualannya kini ialah RM143,000. Dengan harga yang demikian, sememangnya ia boleh dikategorikan sebagai motosikal dwiguna berkuasa tinggi mewah yang mampu membuatkan pemiliknya berpuas hati dengan prestasi dan kelebihan yang ditawarkan.
Naza Bikers Sdn. Bhd. memberitahu, model ini sememangnya mendapat sambutan hangat daripada peminat motosikal berkuasa tinggi tempatan sejak dilancarkan Jun lalu.
Dan sejak ia dipasarkan, lebih 30 buah telah berjaya dijual selain mendapat permintaan semasa ia dipamerkan di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2010.

No comments:

Post a Comment