jokisenja header

jokisenja header

Wednesday, February 9, 2011

PELUANG LEBIH LUAS BUAT PELUMBA PERSENDIRIAN DALAM CUB PRIX 2011




Menjelang musim 2011 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang bakal berlangsung bulan hadapan, pihak penganjur, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) mengumumkan dua sesi saringan akan diperkenalkan di dalam kelas Persendirian.

Selari dengan kategori-kategori utama, CP130, CP115 dan Wira- Pengarah Promosi SAM, Ron Hog menjelaskan penambahan sesi saringan tersebut disifatkan wajar memandangkan jumlah pelumba yang menyertai kelas ini semakin meningkat. 

Dalam pada itu, pihak penganjur juga berharap ia akan membuka peluang lebih luas kepada pihak-pihak yang mempunyai sumber kewangan terhad menimba pengalaman beraksi di dalam Cub Prix.

"Sejak kelas Persendirian ini diperkenalkan pada tahun 2009, kami telah menerima pelbagai maklum balas positif. Bukan itu sahaja, bilangan peserta turut meningkat dengan konsisten sepanjang dua tahun ini.

"Sambutan luar biasa ini membuktikan bahawa terdapat ramai individu di luar sana yang berminat menyertai Cub Prix dan bagi menampung bilangan pelumba yang bakal meningkat ini, kami telah memutuskan untuk membuka dua sesi saringan dan memberi peluang kepada mereka untuk memperagakan bakat berlumba masing-masing di dalam saingan adil pada kos rendah," ujar Ron.

Sebelum ini, grid Persendirian hanya mempunyai satu sesi saringan sahaja, terbuka kepada 24 pelumba tetapi dengan perubahan baru ini, dijangka seramai 48 pelumba akan bersaing bagi mendapatkan tempat di atas grid final.

Walau bagaimanapun, Ron menegaskan bilangan penyertaan tetap terhad dan ia bergantung di atas faktor 'siapa cepat, dia dapat'. Selain itu, yuran pendaftaran bagi kelas ini juga telah dinaikkan ke RM100 berbanding tahun lalu di mana ia ditetapkan pada RM50.
 
Dalam pada itu, Ron turut mendedahkan kemungkinan pihak penganjur akan memperkenalkan format kedudukan keseluruhan bagi kelas ini.

"Walaupun masih dalam proses perbincangan, kami bercadang menyediakan kedudukan keseluruhan bagi kelas Persendirian seperti mana dalam kelas CP130, CP115, Wira dan perlumbaan satu pengeluar dengan harapan ia mampu memberi motivasi buat para pelumba supaya tidak mengambil ringan kelas ini." 

Ketika mengulas mengenai masa depan kategori tersebut yang kini bakal memasuki musim ketiga, Ron menjelaskan, "Saingan kelas Persendirian mempunyai masa depan yang cerah dan ia akan terus berlangsung pada musim-musim akan datang. 

"Ia bukan sekadar memberi peluang kepada mereka yang kurang bernasib baik atau gagal menyertai cabaran kelas Wira disebabkan faktor umur, namun pentas ini secara tidak langsung membuka peluang kepada pasukan sediada untuk mencari bakat baru. Selain itu, ia turut memberi peminat sukan pemotoran tanahair dan peminat yang tinggal berhampiran venue perlumbaan untuk mencuba nasib mereka di atas litar," jelas Ron.    

No comments:

Post a Comment