jokisenja header

jokisenja header


Thursday, February 24, 2011

MotoGP, SIC bantu mangsa banjir

PARA pelumba dan krew pasukan MotoGP bergambar bagi menjayakan kempen Tabung Bantuan Mangsa Banjir Malaysia sebelum memulakan sesi ujian rasmi kedua MotoGP di Sepang semalam.


SEPANG - Pelumba dan krew pasukan perlumbaan MotoGP memberi sokongan sepenuhnya kepada kempen amal yang dianjurkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
SIC mengambil inisiatif untuk mengadakan kutipan amal semasa sesi ujian rasmi pra musim MotoGP bagi membantu mangsa banjir di Malaysia baru-baru ini.
"Bagi pihak SIC, saya ingin melahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada semua pelumba dan anggota pasukan MotoGP kerana memberi sokongan kepada kempen 'RM2 atau lebih' bagi tujuan sumbangan kepada Tabung Bantuan Mangsa Banjir Malaysia.
"Dengan kesemua anggota pasukan yang menyertai MotoGP bergambar bersama-sama di petak permulaan hari ini (semalam), ia adalah saat paling membanggakan bagi kami semua di SIC.
"Ia sudah pastinya memberi inspirasi kepada kami untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik dengan lebih baik lagi menerusi kejohanan anjuran kami ini," kata ketua pegawai eksekutif SIC, Datuk Razlan Ahmad Razali.
Razlan menambah bahawa SIC akan melihat kepada skala yang lebih besar lagi dalam program CSR sempena Grand Prix (GP) Malaysia selepas semua krew pasukan MotoGP kembali semula ke Sepang, Oktober depan.
Pada sesi ujian rasmi kedua MotoGP yang bermula kelmarin, semua individu yang hadir ke SIC termasuk pegawai rasmi, pembekal, kontraktor dan juga penonton diminta menyumbang derma sekurang-kurangnya RM2 yang akan disalurkan kepada tabung mangsa banjir.
Sesi ujian tiga hari yang akan berakhir hari ini dan pada hari pertama kelmarin, dua pelumba Repsol Honda, Casey Stoner serta Dani Pedrosa berjaya mencatat masa terpantas.
"Maklum balas yang diterima sangat bagus dan saya sudah pasti tersentuh dengan kemurahan hati setiap daripada mereka yang menyumbang derma.
"Saya benar-benar menghargainya," jelas Razlan lagi.

No comments:

Post a Comment