jokisenja header

jokisenja header


Monday, January 31, 2011

M-SEKI LIBERTY BERALIH PANCU JENTERA HONDA





Pasukan M-Seki Liberty Racing mengambil langkah drastik musim 2011 ini apabila membuat pengumuman untuk memancu jentara Honda bagi menghadapi cabaran musim ke-18 siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Alor Setar, Kedah Mac ini.

Pengurus pasukan, Chong Kok Ming menjelaskan bahawa penukaran tersebut selari dengan rancangan pihak pengurusan Honda yang ingin melebarkan sayap di dalam arena Cub Prix ekoran persembahan cemerlang Norizman Ismail (Harian Metro SCK Honda Racing) yang meraih kedudukan tempat kedua keseluruhan kategori CP130 walaupun ia merupakan musim pertamanya dengan jentera Honda.

Honda yang berjanji untuk membantu ke arah pencapaian yang lebih memberangsangkan musim ini merupakan rakan teknikal ketiga M-Seki Liberty. Sebelum ini, pada tahun pertama (2009), pasukan M-Seki Liberty menggunakan jentera Yamaha dan pada tahun berikutnya jentera Suzuki.

"Kami sudah meggunakan tiga jentera berbeza sepanjang penglibatan kami di dalam Cub Prix. Pada penampilan sulung, kami menggunakan jentera Yamaha sebelum beralih ke Suzuki tahun berikutnya dan musim ini pula kami akan menggunakan jentera Honda. Saya percaya, perubahan ini akan dapat mempertingkatkan lagi prestasi pasukan," jelas Chong Kok Ming.   

Dengan adanya sokongan teknikal daripada pihak Honda, Chong Kok Ming juga berharap pasukan bimbingannya yang diberi nama baru, M-Seki Liberty Honda boleh mencapai kedudukan lima terbaik di dalam kedudukan keseluruhan pelumba serta anugerah berpasukan musim ini.

"Saya jangkakan perlumbaan musim ini agak menarik kerana terdapat ramai pasukan Honda yang akan beraksi kali ini. Bukan sahaja kami akan menerima sokongan teknikal dari pihak pengurusan Honda tetapi kami juga boleh berkongsi pendapat dan pengetahuan bagaimana untuk menyelaraskan jentera serta mempelajari kelebihan dan kekurangannya."

"Kesimpulannya, kami berharap untuk terus menjadi pencabar yang konsisten dalam perlumbaan CP115 musim ini. Sasaran awal kami adalah untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan lima terbaik pada setiap perlumbaan, kedudukan keseluruhan dan juga anugerah berpasukan musim ini," tambahnya. 

M-Seki Liberty Honda bakal diwakili Sasitharen Sukumaran, Mohd Shariffudin Shamsuddin dan seorang lagi pelumba yang akan ditentukan kelak. Semua tiga pelumba terbabit akan beraksi di dalam kelas CP115. Tahun lepas, Sasi mengakhiri musim 2010 ditempat ke-14 keseluruhan manakala Shariffudin pula berada di kedudukan ke-18 keseluruhan. Bagi kategori Anugerah Pasukan pula, pasukan Suzuki M-Seki Liberty Racing berjaya memperolehi tempat keenam keseluruhan.

No comments:

Post a Comment