jokisenja header

jokisenja header


Tuesday, January 4, 2011

KOMEN PENGURUS-PENGURUS PASUKAN CP130



Pengurus pasukan tiga pasukan terbaik kategori CP130, PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline, PETRONAS Sprinta Yamaha AHM Racing dan Harian Metro SCK Honda Racing- Barry Leong, Kenny Chua dan Soong Chie Kieong memberikan komen mengenai prestasi pasukan masing-masing di dalam siri Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM PETRONAS 2010 di mana pelumba muda, Hafizh Syahrin Abdullah muncul juara keseluruhan kategori premier diikuti Norizman Ismail dan Ahmad Fazli Sham di atas podium pada pusingan akhir di Padang Kota Lama, Pulau Pinang Disember lalu.
PETRONAS SPRINTA YAMAHA RACELINE
KEDUDUKAN KESELURUHAN ANUGERAH BERPASUKAN-  PERTAMA (271 mata)
PENGURUS PASUKAN- BARRY LEONG


Musim 2010 jelas cukup mencabar bagi pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline di mana pada separuh musim pertama kami menghadapi masalah menyelaraskan jentera Yamaha. Akibatnya, Hafizh gagal menamatkan perlumbaan di Kluang (Pusingan 2) dan di Sepang Utara (Pusingan 4). Sedar akan kedudukan kami selaku pasukan terbaik 2009 terancam, kru pasukan berhempas-pulas bagi meningkatkan jentera Hafizh Dan Azlan Shah Kamaruzaman dan usaha mereka membuahkan hasil pada separuh musim kedua di mana Hafizh kelihatan lebih konsisten di atas podium. Selain itu, dia juga berjaya memecahkan rekod hat-trick Fazli Sham dan ini merupakan pencapaian yang sangat memberangsangkan. Musim hadapan saya jangkakan Honda akan menjadi pencabar yang kuat kerana tahun ini mereka cukup cemerlang. Oleh itu, kami perlu berusaha dengan lebih keras untuk mempertahankan kedudukan pasukan terbaik CP130.
PETRONAS SPRINTA YAMAHA AHM RACING
KEDUDUKAN KESELURUHAN ANUGERAH BERPASUKAN- KEDUA (247 mata)
PENGURUS PASUKAN- KENNY CHUA

Walaupun pasukan kami mempunyai dua pelumba berpengalaman Ahmad Fuad Baharudin dan Mohd Zamri Baba di dalam kategori CP130, kami hanya mampu menamatkan musim selaku pasukan kedua terbaik. Kedua-dua pelumba ini cukup garang tetapi saya rasakan nasib kurang menyebelahi mereka musim ini di mana Fuad gagal menamatkan perlumbaan sebanyak dua kali dan di batalkan penyertaannya sekali manakala Zamri gagal menamatkan perlumbaan di Teluk Intan (Pusingan 6). 
HARIAN METRO SCK HONDA RACING
KEDUDUKAN KESELURUHAN ANUGERAH BERPASUKAN- KETIGA (219 mata)
PENGURUS PASUKAN- SOONG CHEE KIEONG

Memandangkan ini tahun pertama kami menggunakan jentera Honda, saya akui prestasi kami agak baik untuk muncul tempat ketiga di dalam anugerah berpasukan CP130. Pada asalnya, tentulah kami ingin muncul juara tetapi malang sekali hanya jentera Norizman yang mampu bersaing dengan pencabar sementara Mohd Affendi Rosli dan Mohd Suhadi Ali Rahmat membiasakan diri dengan jentera Honda. Ini merupakan satu kekurangan kerana kebanyakan pelumba menggunakan strategi berpasukan untuk cemerlang di dalam kelas ini. Contohnya, Hafizh mempunyai Azlan Shah dan Zamri mempunyai Fuad untuk membantunya. Selain itu, Fazli Sham mempunyai bantuan dari Abdul Muhaimin Roslan dan Elly Idzlianizar Ilias. Musim hadapan kami akan meneruskan perjuangan untuk muncul pasukan terbaik kategori ini dan saya yakin ia boleh dicapai kerana pihak pengurusan Honda telah menjanjikan sokongan teknikal yang akan memainkan peranan besar di dalam perkembangan pelumba.

No comments:

Post a Comment