jokisenja header

jokisenja header


Sunday, January 16, 2011

TAHUN BARU, HARAPAN BARU

Walaupun pihak promoter Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) baru sahaja mengumumkan kalendar perlumbaan 2011 minggu lalu, debaran sudah boleh dirasakan. Kami mengambil peluang untuk berbicara dengan beberapa pelumba Cub Prix dan bertanya mengenai harapan serta matlamat mereka musim ini.

Norizman Ismail
Makhota CP130 terlepas dari tangan saya dengan perbezaan 7 mata dari Hafizh Syahrin Abdullah. Tentulah saya amat kecewa sekali dan tahun ini saya berharap untuk menebus kekalahan tersebut. Saya yakin matlamat ini boleh dicapai kerana kami akan menggunakan model jentera Honda yang baru. Ia pasti akan memberikan cabaran sengit kepada pesaing di dalam kelas CP130.

Mohd Zamri Baba
Tahun lalu saya diberi peluang untuk beraksi sebagai wildcard di dalam MotoGP dan ia merupakan salah satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Setiap kali saya mengenangkannya, semangat berlumba saya berkobar-kobar dan saya berharap ia akan dapat membantu saya merebut makhota CP130 musim ini. Ia merupakan satu-satunya kemenangan yang belum saya capai selepas kategori Wira dan Novis. Yang pasti, saya akan memberikan yang terbaik dan terus mengembangkan skil perlumbaan selain membawa pulang keputusan yang baik dengan konsisten di dalam setiap pusingan. Itu harapan saya untuk 2011.

Mohd Zaqhuan Zaidi
Matlamat saya tahun ini adalah untuk membuktikan saya berkebolehan untuk mencabar pelumba yang mempunyai lebih banyak pengalaman. Saya akur ia tidak mudah kerana ini tahun kedua saya di dalam Kejuaraan Cub Prix tetapi saya nekad! Tambahan pula, saya mempunyai pasukan yang kuat untuk menyokong saya!

Mohd Adli Salihin
Musim lalu, Motul Yamaha YY Pang mempamerkan semangat kerjasama pasukan yang kuat di dalam kelas CP115 dan ia membolehkan saya dan rakan sepasukan Mohd Rozaiman Mohd Said dan Zaidy Mohd Zaifaizal muncul di kalangan 10 pelumba terbaik pada pusingan akhir. di Padang Kota, Pulau Pinang. Tahun ini, saya ingin mempertingkatkan lagi semangat ini dan menjejakkan kaki di atas podium. sebanyak boleh Selain itu, saya ingin berkomunikasi dengan lebih baik dengan mekanik pasukan yang baru bagi memastikan jentera Yamaha saya adalah sama taraf dengan pihak lawan ataupun lebih maju.

Farah Melina Ismadi
Peluang untuk saya merebut gelaran juara Cabaran Honda icon musim lalu amat cerah. Malang sekali ekoran insiden patah tangan serta Penilaian Menengah Rendah (PMR), saya terpaksa melepaskan hajat tersebut. Tidak dapat dinafikan saya memang cukup kecewa tetapi saya optimis tahun ini akan lebih baik dari tahun lalu. Saya hanya perlu berusaha dengan lebih tekun.

No comments:

Post a Comment