jokisenja header

jokisenja header


Sunday, February 12, 2012

CP130: ULASAN MUSIM 2011




Pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2010 kita telah menyaksikan bagaimana Hafizh Syahrin Abdullah mendominasi perlumbaan kategori CP130, namun situasi agak berbeza pada musim 2011 apabila gelaran juara seringkali bertukar-ganti dan pertarungan merebut makhota jatuh diantara rakan baik, Norizman Ismail dan Mohd Affendi Rosli.

Saingan cukup sengit musim lalu di mana pada pusingan pembukaan di Kangar Mohd Ramdan Mohd Rosli yang baru beralih dari kategori CP115 berjaya meraih kemenangan pertamanya dalam kategori perdana ini. Pada usia 15 tahun, dia muncul pelumba termuda untuk memenangi kategori perdana ini, mengatasi pencapaian Hafizh yang merupakan pemenang termuda pada tahun 2010 ketika berusia 16 tahun. Lebih manis lagi, pelumba senior dan rakan sepasukan Ramdan dari PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM, Mohd Zamri Baba menamatkan perlumbaan di tangga kedua diikuti rookie, Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing).

Gandingan itu meletakkan harapan untuk mencatat kemenangan di Batu Kawan (Pusingan 2) namun hasrat mereka tidak kesampaian apabila Ramdan sekadar menjadi pemerhati sebanyak tiga pusingan berikutan kecederaan pada kakinya manakala Zamri dibelengu masalah teknikal. Kesempatan ini digunakan Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing) untuk menawan litar Batu Kawan. Pelumba veteran itu tetap tampil dengan prestasi cemerlang untuk meraih kemenangan pertama bersama pasukan baru menewaskan Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) dan veteran, Ahmad Fuad Baharudin (Global Bike Rock Oil Racing).

Pada pusingan berikutnya di Kuala Terengganu, giliran Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) menunjukkan taring. Pelumba berusia 28 tahun yang beralih dari jentera Yamaha ke Honda itu menampilkan prestasi terbaik untuk meraih kemenangan pertamanya selepas bersaing sengit dengan Ahmad Fazrul Sham manakala Fuad sekali lagi menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.

Walau bagaimanapun, Azlan tidak dapat meneruskan kecemerlangannya apabila terpaksa menarik diri dari menyertai Pusingan 4 di litar Putrajaya yang julung kalinya diadakan bersempena dengan Hari Belia Negara kerana melangsungkan perkahwinannya pada tarikh tersebut. Namun, pencapaian serupa diteruskan rakan sepasukan Norizman dan Affendi. Dua sahabat karib itu berada di kedudukan 1 - 2 manakala Fazrul di kedudukan ketiga.

Juara 2010, Hafizh yang menarik diri dari arena Cub Prix kerana mahu memberi tumpuan penuh dalam perlumbaan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) membuat kemunculan semula bermula Pusingan 5. Pelumba berusia 17 tahun itu tetap tampil hebat untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat manakala Norizman meraih kemenangan keduanya diikuti Ramdan dan Azlan di tangga kedua dan ketiga.

Saingan mendebarkan berterusan di Alor Setar (Pusingan 6). Elly Idzlianizar Ilias (Global Bike Rock Oil Racing) menunjukkan kemampuannya untuk memenangi perlumbaan manakala Mohd Taufiq Roslan meraih podium pertamanya dalam saingan kelas perdana. Walau bagaimanapun, saingan sengit lebih tertumpu diantara Hafizh dan Ramdan yang bersaing hebat untuk mengejar kedudukan ketiga. Namun sedikit kesilapan pada saat-saat akhir oleh Ramdan membolehkan Hafizh kembali menjejakkan kaki di atas podium manakala Ramdan sekadar menamatkan perlumbaan dengan kutipan satu mata.

Dari situ, Hafizh terus membuktikan kehebatan. Dia memenangi perlumbaan di Kluang dengan untuk menewaskan Zamri dan Fazli manakala ketika di Melaka, dia muncul juara dengan menewaskan Ramdan dan Affendi sekali gus menjadi pelumba kedua yang meraih kemenangan berganda pada musim ini selain Norizman.

Kejayaan itu membuka ruang buat Hafizh untuk mengejar gelaran juara keseluruhan CP130 namun keadaan litar basah di Sepang (Pusingan 9) sedikit mengganggunya untuk mencatat hatrik. Manakala Affendi menggunakan pengalaman beraksi di litar panjang untuk mengatasi Muhaimin dan Zamri yang menamatkan perlumbaan di tangga kedua dan ketiga.

Di sebalik keputusan mengecewakan, Hafizh kembali bangkit dengan mendominasi perlumbaan terakhir 2011 di litar kegemarannya, Padang Kota Lama untuk meraih kedudukan ketiga keseluruhan manakala keputusan di tempat ketiga pula sudah cukup buat Norizman mengesahkan dirinya sebagai juara keseluruhan CP130 2011 manakala Affendi di tangga kedua keseluruhan.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment