jokisenja header

jokisenja header


Sunday, January 22, 2012

PERSENDIRIAN: ULASAN MUSIM 2011




Saingan kategori Persendirian Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS pada musim 2011 ini tidak kurang hebatnya. Selepas mula diperkenalkan pada 2009, kategori ini semakin berkembang dan begitu diminati oleh peminat-peminat perlumbaan motosikal apabila jumlah penyertaannya semakin bertambah terutama di kalangan pelumba utara tanah air. Kita lihat kembali apa yang berlaku sepanjang musim 2011.

Pemburuan mahkota Persendirian hanya tertumpu kepada Wazir Abdul Razak yang telah membuktikan kehandalannya apabila memenangi sembilan daripada 10 pusingan dalam kalendar perlumbaan 2011. Pelumba 27 tahun itu memulakan kempen musim ini dengan memenangi perlumbaan pembukaan di Kangar diikuti dengan empat kemenangan berturut-turut selepas itu di Batu Kawan (Pusingan 2), Terengganu (Pusingan 3), Putrajaya (Pusingan 4) dan Teluk Intan (Pusingan 5).

Percubaannya untuk mencatat hatrik berganda tidak kesampaian apabila dia sekadar menamatkan perlumbaan Pusingan 6 (Alor Setar) di tangga ke-12. Namun kekecewaan itu tidak menggugat prestasinya apabila dia menebus kembali dengan kemenangan di Kluang (Pusingan 7) dan Melaka (Pusingan 8) yang turut menyaksikan dia dinobatkan sebagai juara keseluruhan Persendirian selepas itu. Dengan gelaran juara sudah pun berada di dalam genggamannya, ia tidak menjejaskan tumpuan Wazir untuk terus meraih kemenangan apabila dia memenangi perlumbaan Pusingan 9 (Litar Sepang) dan perlumbaan terakhir 2011 di Penang Esplanade dan menamatkan saingan dengan mengumpul 229 mata.

Walaupun begitu, ia bukan kemenangan mudah apabila Wazir tetap dicabar oleh pelumba-pelumba lain terutama Mohd Fhahmin Abdul Mutalib yang sentiasa mengekori dibelakangnya. Mula menyertai kategori Persendirian pada tahun 2009, diikuti pada tahun 2010, prestasi Fhahmin semakin meningkat apabila meraih tiga kedudukan di tempat kedua ketika di Kangar, Batu Kawan dan Teluk Intan sebelum dia menyekat penguasaan Wazir di Alor Setar dengan meraih gelaran juara.

Nasib Fhahmin pada perlumbaan terakhir sebelum beralih ke kategori CP115 bersama pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline tidak begitu baik apabila dia gagal untuk menamatkan perlumbaan (DNF) namun walaupun tidak beraksi pada tiga pusingan terakhir, ia sudah cukup untuk meletakkan Fhahmin di tangga kedua keseluruhan musim ini.

Seorang lagi pelumba yang menunjukkan peningkatan ketara pada musim ini ialah Ang Beng Seang. Permulaan musim bagi pelumba tunggal berbangsa Cina dalam Kejuaraan ini tidak begitu baik apabila dia seringkali gagal menamatkan perlumbaan (DNF) ataupun gagal mara ke pusingan akhir (DNQ). Namun begitu, dia menunjukkan peningkatan prestasi secara mendadak bermula pada Pusingan 6 sehingga ke penghujung musim.  Dia menamatkan perlumbaan pusingan keenam di tangga kempat dan selepas itu dia berjaya menjejakkan kaki di atas podium di tempat ketiga empat kali berturut-turut sekali gus membantunya melonjak ke tangga ketiga dalam senarai keseluruhan dengan 100 mata.

No comments:

Post a Comment