jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, February 29, 2012

FAZLI KEMBALI KE PANGKUAN YAMAHA MAJU MOTOR




Prestasi tidak menentu musim lalu mendorong Ahmad Fazli Sham kembali ke pangkuan pasukan lamanya, Yamaha Maju Motor Racing bagi menghadapi saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2012.

Fazli, juara dua kali kategori Expert (2007 dan 2008) yang akan bergandingan dengan dua pelumba muda, Abdul Muhaimin Roslan dan Mohd Taufiq Roslan dalam kategori perdana CP130 percaya Yamaha Maju Motor Racing dapat mengembalikan semula prestasi sebenar dirinya untuk bersaing dalam pentas yang cukup kompetitif ini.

Musim 2011 menyaksikan pelumba berasal dari Taiping itu membuat keputusan untuk kembali bergandingan dengan adiknya, Ahmad Fazrul Sham di bawah satu bumbung bersama pasukan Pennzoil Racing Malaysia.

Walaupun tahun baru tampil bersama pasukan baru, Fazli tetap beraksi cemerlang dengan menduduki tangga kelima keseluruhan dengan melakar kejayaan memenangi perlumbaan di Batu Kawan (Pusingan 2) dan menaiki podium di Kluang (Pusingan 7).

"Prestasi pada musim lepas tidak menentu. Walaupun menamatkan saingan di tangga kelima keseluruhan, ia masih tidak mencukupi. Saya mempunyai peluang untuk mengejar gelaran juara, namun kegagalan pasukan menyediakan pelarasan terbaik dengan konsisten menyebabkan peluang saya terjejas," kata pelumba berusia 30 tahun itu.

Ketika ditanya adakah dia turut memikirkan untuk bersama pasukan lain, Fazli berkata, "Tidak! Sebab utamanya saya tidak pasti sama ada mereka dapat memenuhi apa yang saya inginkan. Saya telah bersama Yamaha Maju Motor Racing untuk satu tempoh yang lama. Bekerja dengan mereka sangat mudah dan begitu sistematik, jadi ini membolehkan saya memberi sepenuh tumpuan untuk berlumba dan mencatat keputusan terbaik.

"Walaupun masih terlalu awal, saya boleh katakan di mana saya sudah cukup bersedia untuk memulakan kempen musim ini dan begitu bersemangat untuk mengejar gelaran juara keseluruhan," tambah Fazli.

Sementara itu, pengurus pasukan, Yong Yin Hoe turut teruja dengan perjanjian barunya bersama Fazli dan menjelaskan, "Saya gembira dengan kepulangan Fazli. Kami mempunyai banyak sejarah bersama selain mempunyai komunikasi yang cukup baik. Saya yakin kepulangannya dapat menambahkan kekuatan pasukan, meningkatkan tahap saingan dan juga dapat mempertahankan nama baik pasukan. Di samping itu, saya sendiri yakin kami dapat mengembalikan semula kegemilangan Fazli dengan mengatasi kelemahan utamanya musim lepas iaitu masalah prestasi jentera yang tidak konsisten," katanya.

No comments:

Post a Comment