Berpuas hati dengan pencapaian dalam kategori Wira pada musim lepas, pasukan Suzuki FortyOne Racing membuat keputusan berani dengan menyertai kategori CP130 dan CP115 dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2012.
Pengurus pasukan, Nor Azlan Amran percaya langkah meletakkan pelumba-pelumba bersaing dalam kategori lebih kompetitif ini dapat membantu mempercepatkan kemajuan mereka berbanding peralihan kelas seperti biasa.
"Langkah ini mungkin kelihatan tergesa-gesa tetapi hasilnya tidak boleh dinafikan. Kita ambil contoh seperti Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) dan Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM). Mereka masih begitu muda namun sudah mampu menyaingi pelumba senior dan kami juga mahukan pelumba kami menjadi seperti ini. Bersaing di peringkat lebih tinggi dapat memaksa pelumba-pelumba untuk belajar dan mengembangkan kemahiran mereka dengan cepat, begitu juga dengan tahap profesional mereka," kata Azlan.
Mohd Syawalludin Mohd Zaki dan bekas pelumba MOS Malaysia Racing, Mohd Amin Mohd Azahar bakal membawa cabaran dalam kategori perdana manakala Mohd Khairul Adli Azahar dan Ahmad Syukran Aizat Yusoof akan menyertai rakan-rakan seangkatan seperti Mohd Adib Rosley (Juara Wira 2010), dan Zulsyafiz Rosli (Juara Wira 2011) dalam kategori CP115.
Walaupun teruja untuk memulakan cabaran baru, Azlan sedar ia bukan tugas yang mudah kerana ia perlu perancangan rapi dan kerja keras berterusan.
"Memberi tumpuan kepada dua kelas utama ini sudah pasti begitu mencabar. Banyak perkara perlu dilakukan terutamanya terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D). Namun kami bertuah kerana pada penghujung tahun lepas, bekas juara Cub Prix, Wazi Abdul Hamid membantu kami dengan memberi pelbagai panduan. Kami memperoleh banyak data-data baru dengan bantuannya dan dengan semangat baru ini kami merancang untuk menghasilkan jentera yang cukup kompetitif. Namun begitu, pada masa sama kali perlu realisitik kerana ini merupakan tahun pertama kami beraksi dalam kategori CP130. Tambahan daripada itu, saya yakin pelumba-pelumba kami mampu untuk merebut lima kedudukan terbaik dalam kategori CP115 pada musim ini," kata Azlan.
Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd
No comments:
Post a Comment