Jumaat lepas, kami berkesempatan untuk bersama pasukan CKJ Yamaha Racing menjalani latihan di Litar Sukan Bermotor Antarabangsa Melaka. Kita ikuti sedikit aktiviti bersama pelumba harapan mereka, Ahmad Afif Amran tentang aktiviti yang dilakukannya sepanjang satu hari di litar tersebut.
Hai Afif, sejak bila Afif mula berada di litar ini?
Saya baru tiba pagi tadi manakala rakan sepasukan lain dan juga kru pasukan telah berada di sini sejak hari Isnin lagi
Kenapa Afif tiba lewat berbanding yang lain?
Saya tiba lewat kerana perlu ke sekolah, tambahan pula pada tahun ini saya berada di Tingkatan 5.
Apa yang Afif lakukan sebaik tiba di sini pagi tadi?
Saya mulakan dengan melakukan latihan kecergasan dengan berjoging mengelilingi litar ini. Di samping itu, saya juga berusaha untuk memahami keadaan litar sebelum memulakan latihan menggunakan jentera.
Selepas itu, apa pula yang Afif lakukan?
Selepas selesai melakukan latihan kecergasan dan juga memahami keadaan litar, saya mula melakukan ujian dengan menggunakan jentera. Saya mencuba beberapa jentera yang disediakan dan juga sentiasa mencari pelarasan terbaik yang saya perlukan. Saya lakukan latihan bersama beberapa pelumba lain bermula dari pagi sehingga ke petang.
Bagaimana Afif lihat dengan ujian dan latihan hari ini, adakah masa yang dicatatkan cukup memuaskan?
Masa yang dicatatkan pada hari ini tidak begitu memuaskan namun saya yakin dapat mencatatkan masa yang lebih pantas lagi. Masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Kecergasan fizikal saya masih belum berada pada tahap terbaik begitu juga dengan keadaan jentera. Kami masih belum menemui pelarasan terbaik sebagaimana pada Kejuaraan motosikal Asia pada tahun lepas dan juga prestasi semasa saya memenangi perlumbaan di litar Padang Kota Lama.
Bagaimana dengan sasaran Afif pada tahun ini?
Pada tahun ini saya akan beraksi dalam kategori CP115. Kejayaan pada musim lepas memberi semangat kepada saya untuk meraih beberapa kemenangan lagi. Namun saya sedar saingan pastinya begitu sengit memandangkan ramai pelumba berpengalaman berada dalam kategori ini.
Kami semua sedang bertungkus lumus untuk mendapatkan prestasi terbaik dan kalau boleh mahu menaiki podium pada perlumbaan pertama nanti. Saya berharap agar dapat berada di kalangan tiga pelumba terbaik dalam senarai keseluruhan pada penghujung musim.
No comments:
Post a Comment