Mohd Iskandar Raduan optimis menghadapi musim baru Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di mana dia berhasrat untuk meningkatkan namaya kembali selepas sebuah kempen yang kurang memberansangkan tahun lalu.
Pelumba yang berasal dari Seremban itu kecewa dengan persembahannya apabila sekadar muncul di kedudukan ke-14 keseluruhan di dalam kategori CP130 dan dia berharap nasibnya lebih baik tahun ini apabila dia diumumkan akan berubah angin dan beraksi di dalam kelas CP115.
Iskandar juga bakal berganding bahu dengan rakan baru, Zulsyafiz Rosli yang juga merupakan juara keseluruhan Wira 2011 di bawah naungan pasukan gergasi, PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM Racing.
"Saya cuma mahu lupakan kepahitan musim lalu," jelas Iskandar.
Walaupun ramai pihak menyifatkan penghijrahannya ke kategori CP115 sebagai satu langkah ke-belakang, Iskandar yang meletakkan sasaran untuk menjuarai kelas pertengahan ini mempunyai pendapat berbeza.
"Bagi saya, saingan kedua-dua kategori ini tidak banyak bezanya. Pelumba-pelumba tetap hebat dan mencabar, apa yang berbeza hanyalah jentera. Jadi saya fikir ia tidak memberi banyak kelebihan kepada saya nanti namun ia juga bukan satu masalah kepada saya. Tambahan pula, saya belum pernah menjuarai kelas ini jadi inilah peluang saya," ujar Iskandar yang pernah menduduki tangga ketiga keseluruhan CP115/ Novis pada tahun 2010 itu.
Bagi memastikan hasratnya menjadi kenyataan, Iskandar menggunakan tempoh rehat panjang sebelum perlumbaan musim ini bermula untuk memperbaiki setiap kelemahan yang ada terutama dari segi kecergasan fizikalnya. Kini dia yakin dari segi fizikal dan mental, dia kini sudah cukup bersedia bagi menghadapi pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang akan berlangsung di Batu Kawan, 31 Mac dan 1 April ini.
Selain itu, keadaan kakinya juga sudah 100 peratus pulih selepas insiden pada Piala Yamaha Asean pada tahun 2010.
"Kemalangan yang dialami pada perlumbaan akhir Piala Yamaha Asia pada tahun 2010 menyebabkan kaki saya patah dan terpaksa mengambil masa lama untuk pulih. Walaupun mampu beraksi pada musim lepas, namun saya masih belum cergas sepenuhnya dan ini telah menjejaskan keyakinan saya pada setiap perlumbaan.
"Kini saya lebih yakin untuk meraih kejayaan terutama bagi menebus kehampaan gagal menaiki sebarang podium pada musim lepas," tambahnya lagi.
No comments:
Post a Comment