jokisenja header

jokisenja header


Thursday, June 7, 2012

CP130: KESAKITAN TIDAK HALANG ZAQHWAN MUNCUL JUARA




Kesakitan bukan penghalang buat Mohd Zaqhwan Zaidi untuk muncul juara kategori CP130 Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang berlangsung di Bandar Mahkota, Banting, hari ini.  

Pelumba Pachie Yuzy Honda Racing itu menamatkan perlumbaan sebanyak 15 pusingan dengan masa keseluruhan 13 minit 44.722 saat meninggalkan Mohd Fitri Ashraf Razali (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2) di kedudukan kedua, 13:49.409s. Pelumba berpengalaman, Ahmad Fuad Baharudin (Faito Motobert Racing) yang mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa semalam sekadar berpuas hati di kedudukan ketiga, 13:49.585s.

Mengulas tentang kemenangannya, Zaqhwan yang masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan patah ibu jari tangan kanan selepas terjatuh sewaktu beraksi di pusingan pembukaan Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini berkata, "Walaupun jari saya masih sakit dan saya terpaksa menanggungnya pada sepanjang perlumbaan namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk memburu kemenangan. Tambahan pula, saya tidak mahu mengecewakan seluruh pasukan yang telah menyediakan jentera yang cukup baik pada perlumbaan kali ini," jelas Zaqhwan yang meraih kemenangan kedua selepas memenangi perlumbaan pembukaan di Baatu Kawan.

Mengulas sedikit tentang perlumbaan, Zaqhwan berkata, "Selepas mencatat masa terpantas  sesi Superpole pada sebelah pagi, keyakinan saya untuk menaiki podium semakin meningkat. Permulaan yang baik membolehkan saya berada di hadapan sejak dari awal perlumbaan lagi. Menyedari pengalaman luas yang ada pada Ahmad Fuad, saya cuba untuk menjarakkan diri darinya sejak dari pusingan awal lagi termasuklah menggunakan kelebihan ketika di laluan lurus. Strategi saya berjaya dan akhirnya membantu saya untuk meraih gelaran juara buat kali kedua, jelas Zaqhwan yang kini berada di kedudukan teratas dalam senarai keseluruhan dengan 70 mata.

Mengekori Zaqhwan di kedudukan kedua dalam senarai keseluruhan ialah rakan sepasukan Mohd Fitri, Azlan Shah Kamaruzaman yang sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10 dengan 60 mata manakala Ahmad Fuad ketiga, 54 mata.

Pasukan Faito Motobert Racing yang diwakili Ahmad Fuad dan Ahmad Fazrul Sham kekal di tangga teratas dalam senarai Anugerah Berpasukan Keseluruhan dengan mengumpul 100 mata diikuti Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2 kedua, 92 mata. Pasukan Pachie Yuzy Honda Racing (Zaqhwan / Wan Mohd Hadri Wan Mukhtar) ketiga, 84 mata.



WIRA: FAKHRUSY TEBUS KECEWA



Fakhrusy Syakirin Rostam menebus kehampaan gagal menamatkan perlumbaan pada pusingan 3 apabila berjaya mengungguli perlumbaan kali ini dengan catatan masa keseluruhan 9:27.550s.

Pelumba AAP Mazoil Armstrong Motorsport itu meninggalkan pencabar utamanya, Mohd Hafiz Nor Azman (Team Mos Track Pro Yamaha Racing) di kedudukan kedua yang menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 9:27.868s diikuti Tengku Amirul Haffiruddin (Motul Yamaha YY Pang Racing) ketiga, 9:33.917s.

Bercakap tentang kemenangannya, Fakhrusy berkata, "Saya sangat gembira dengan kejayaan hari ini dan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seluruh pasukan kerana dapat menyediakan jentera terbaik kepada saya. Walaupun pada peringkat awal saya berada di belakang Hafiz, namun menyedari Hafiz sering melakukan kesilapan pada selekoh terakhir, saya mencari masa sesuai untuk memintas dan akhirnya berjaya. Kemenangan ini juga membantu saya untuk merapatkan kedudukan keseluruhan dengan Hafiz," jelas Fakhrusy.

Keputusan di tempat kedua bagaimanapun terus mengukuhkan kedudukan Hafiz di tangga teratas dalam senarai keseluruhan dengan mengumpul  81 mata diikuti Fakhrusy kedua, 63 mata dan Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan (Motul Yamaha YY Pang Racing) ketiga, 49 mata.





CP115: PETRONAS SYNTIUM MOTO YAMAHA AHM CATAT KEMENANGAN BERGANDA
Pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM mencatat kemenangan bergaya apabila dua pelumba mereka, Mohd Iskandar Raduan dan Shahril Izzuwan Mohd Noor menamatkan perlumbaan kategori CP115 di atas podium di Banting hari ini.

Iskandar mempamerkan prestasi cemerlang dengan gelaran juara kedua pada musim ini setelah menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 11:12.625s manakala Shahril di kedudukan ketiga, 11:13.218s. Berada di kedudukan kedua ialah juara Pusingan 3 di Kangar, Mohd Amirul Ariff Musa (Pachie Yuzy Honda Racing) dengan masa keseluruhan 11:12.982s.

Bercakap tentang kemenangannya, Iskandar berkata, "Menyedari kelemahan jentera saya ketika di laluan lurus berbanding Amirul, saya terpaksa menunggu sehingga ke pusingan keenam untuk memintasnya kerana saya sedar dia mempunyai kelemahan terutama ketika di selekoh ketujuh. Saya gembira kerana perancangan saya menjadi malah turut gembira kerana Shahril juga berjaya menamatkan perlumbaan di atas podium. Ini membolehkan kami mengutip banyak mata dan melebarkan jurang perbezaan mata di tangga teratas dalam senarai berpasukan."

Kemenangan ini terus meletakkan Iskandar mendahului senarai pelumba keseluruhan dengan 78 mata. Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui Racing) di tangga kedua, 59 mata manakala Amirul ketiga, 56 mata.

PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM selesa mendahului kedudukan berpasukan dengan mengumpul 128 mata, 57 mata mengatasi M-Seki Liberty Honda Racing (Sasitharen Sukumaran / Mohd Emir Firdaus Hasan) kedua, 71 mata dan Pachie Yuzy Honda Racing (Mohd amirul Ariff Musa / Mohd Rozaliman Zakaria) ketiga, 68 mata.



PRIVATEER: KHAIRUL AZIZI CIPTA HATRIK DI HALAMAN SENDIRI


Tiada apa yang lebih menggembirakan buat peraih gelaran juara dua kali berturut-turut (pusingan 2 dan 3) kategori Persendirian, Khairul Azizi Mansor selain berjaya mencipta kemenangan hatrik di halaman sendiri selepas muncul juara kategori Persendirian pada pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Bandar Mahkota Banting.

Kemenangan selesa Khairul dengan catatan masa keseluruhan 9:56.942s telah meranapkan peluang pencabar utamanya, Hilmi Affan Abd Malik yang menamatkan perlumbaan sebanyak 10 pusingan itu dengan  masa keseluruhan 10:06.970s. Berada di belakang Hilmi pula, adalah pelumba nombor 30, Mohd Syafiq Samad dan merupakan podium pertama buat Syafiq untuk musim 2012 ini.

Dengan kejayaan yang dikecapi Khairul hari ini, ia sekaligus meletakkan anak jati Banting ini di tangga pertama peraih mata keseluruhan terbanyak iaitu sebanyak 91 mata, berbeza 28 mata meninggalkan Hilmi yang berada di kedudukan kedua. Kedudukan podium hari ini juga tidak banyak beza dengan kedudukan keseluruhan di mana Mohd Syafiq kekal sebagai peraih ketiga keseluruhan iaitu sebanyak 48 mata.

Ketika ditanya apakah faktor beraksi di halaman sendiri sebagai punca kemenangan hatrik yang diraihnya hari ini, Khairul menjawab, "pertama sekali saya ingin merakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga pada keluarga dan seluruh kru saya yang bertungkus lumus dan tidak henti memberi dorongan dan kepercayaan terhadap saya.

"Memang dari mula lagi saya sudah mensasarkan mencipta rekod hatrik di tempat sendiri dan untuk itu saya terpaksa bekerja 200 peratus lebih keras bagi memastikan hasrat saya ini tercapai. Bagi saya tiada apa yang lebih bermakna selain menang di tempat sendiri, jelasnya lagi.

Tambah Khairul lagi, "Selalunya bila beraksi di tempat sendiri pastinya memberi sedikit tekanan, tapi bagi saya tekanan itu kurang berbanding tekanan yang diberikan oleh pencabar utama saya, Hilmi Affan yang adakalanya berada begitu hampir di belakang saya selain sering melihat dia sebagai seorang yang konsisten dalam setiap pusingan."

Menyentuh mengenai perjuangan pada pusingan seterusnya yang bakal mengambil tempat di Teluk Intan, Perak pada 9 dan 10 Jun depan, Khairul berazam untuk terus mempertahankan kedudukan podium dan paling penting mengumpul mata terkumpul sebanyak mungkin.

"Walaupun saya mendahului kedudukan keseluruhan setakat ini, tetapi saya tidak boleh terlalu selesa kerana perbezaan mata antara saya dan Hilmi cuma 28 mata sahaja. Justeru saya perlu curi ruang dan peluang dan sentiasa konsisten bagi memastikan kedudukan saya sentiasa berada di atas sehingga akhir kejuaraan musim ini-ujar Khairul.

Hilmi pula ketika ditemui mengakui Khairul adalah pencabar utama yang sukar untuk ditewaskan namun begitu dia enggan mengalah kerana baginya perjalan musim ini masih di peringkat permulaan.

"Bukan bermaksud saya selesa dan sambil lewa tapi saya perlu optimis dan terus cabar diri saya agar buat lebih terbaik daripada kejayaan hari ini. Apa yang penting adalah untuk sentiasa konsisten di podium," jelasnya.

Sementara 'orang baru' di podium musim 2012 kategori persendirian, Syafiq sedikit kesal dengan pencapaiannya hari ini namun tetap bersyukur kerana akhirnya dapat meraih podium pertama musim 2012 ini.

"Keadaan jentera bermula dengan baik sehinggalah pada pertengahan pusingan itu keadaan jentera makin lama makin lemah. Namun saya cuba konsistenkan tunggangan di kedudukan ketiga," ujar Syafiq yang mendambakan podium seterusnya.

No comments:

Post a Comment