jokisenja header

jokisenja header


Tuesday, May 22, 2012

Banting venue pusingan keempat



Bandar Mahkota di Banting, Selangor ditetapkan sebagai gelanggang bagi pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2012 pada 26 dan 27 Mei ini bagi menggantikan venue asal di Putrajaya atas faktor ruang. 

Ron Hogg, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), iaitu promoter Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, berkata saban tahun, ruang yang diperlukan untuk penganjuran Cub Prix semakin bertambah luas.

"Sebab itulah kami memilih untuk memindahkan perlumbaaan ke Banting, kerana di sana memenuhi apa yang diperlukan. 

"Semua ini diambil kira tidak hanya daripada jumlah kehadiran penonton pada setiap pusingan Cub Prix, malah perkara-perkara lain seperti aspek keselamatan, keperluan padok dan juga hal-hal logistik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Litar baru ini mempunyai jarak 1.3km, iaitu litar terpanjang bagi musim ini selepas Litar Sepang (Selatan) pada November depan.
    
Hogg berkata semua pelumba akan bersaing secara adil tanpa sebarang kelebihan kepada mana-mana pasukan menerusi litar tersebut. 

"Kali terakhir perlumbaan berlangsung di litar baru adalah sewaktu di Kangar di mana ketika itu berlaku perubahan terhadap arah laluan litar. Suasana perlumbaan yang dipamerkan cukup mencabar di mana pelbagai kejutan telah berlaku dalam setiap kategori perlumbaan," katanya.

Beliau berkata walaupun perubahan saat akhir ini menyebabkan lebih banyak tugasan dan kerja keras yang perlu dilakukan, namun untuk tempoh jangka panjang, ia sebenarnya dapat meningkatkan tahap persaingan dalam kejuaraan ini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di www.malaysiancubprix.com.

No comments:

Post a Comment