jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, June 27, 2012

Zulsyafiz tiada sasaran


PELUMBA muda kategori CP130, Zulsyafiz Rosli (gambar) tidak meletak sasaran tinggi bagi menghadapi baki separuh musim saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2012 bermula Pusingan 6 di Muar, Johor, hujung minggu ini.
Pelumba Petronas Syntium Moto Yamaha AHM itu berpendapat masih terlalu awal baginya untuk menetapkan sebarang sasaran memandangkan ini tahun pertama beraksi dalam kategori perdana selepas bergelar juara Wira pada tahun lalu. Tambahan pula, dia tidak mempunyai banyak pengalaman beraksi dalam kategori CP115 selepas hanya beraksi pada pusingan pembukaan di Batu Kawan. Selepas itu, dia menggantikan tempat juara bertahan, Shahril Izzuwan Mohd Noor dalam kategori CP130 bermula Pusingan 2 di Terengganu yang menyaksikan Shahril memilih untuk kembali mempertahankan gelarannya.

“Ini tahun sulung saya beraksi dalam kategori CP130 dan tidak ada sebarang sasaran tinggi diletakkan sama ada oleh saya sendiri mahupun pasukan. “Jika berjaya menyertai pusingan Superpole dan menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 pelumba terbaikpun sudah cukup memadai. “Pengalaman saya jauh berbeza untuk sama-sama bersaing dengan kelompok pelumba di hadapan apatah lagi hanya pernah beraksi satu pusingan dalam kategori CP115,” kata pelumba berusia 17 tahun itu. Mengulas tekanan beraksi menentang pelumba elit, Zulsyafiz mempunyai pendapat tersendiri. Baginya, ini peluang terbaik untuk dia belajar dan meningkatkan lagi prestasi.
“Perlumbaan kategori perdana ini cukup berbeza jika dibandingkan dengan kategori CP115 dan WIRA. “Pelumba senior berada dalam kelas tersendiri, masing-masing dengan kebolehan dan kelemahan berbeza. “Sangat sukar untuk menandingi mereka apatah lagi keadaan jentera kami tidak cukup kompetitif pada saat ini.

“Namun pada masa sama, banyak yang dapat saya pelajari. Saya berjaya memacu jentera dengan lebih baik berbanding ketika beraksi dalam kategori Wira. “Begitu juga dengan pemahaman teknikal jentera. Ini dapat membantu menjadikan saya pelumba yang lebih baik cuma perjalanan saya masih jauh. “Sasaran utama saya pada masa ini adalah untuk layak ke sesi Superpole pada mana-mana baki perlumbaan selepas ini.” Maklumat lanjut, hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di www.malaysiancubprix.com.

No comments:

Post a Comment