jokisenja header

jokisenja header


Thursday, June 7, 2012

Fazli tekad gegar Teluk Intan


FAZLI SUDAH BERSEDIA
PELUMBA Yamaha Maju Motor Racing, Ahmad Fazli Sham mahu mengakhiri nasib malang yang menghantui kempennya dalam kategori CP130 menjelang pusingan kelima Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2012 di Teluk Intan, Perak pada hujung minggu ini.
Fazli memulakan musim 2012 dengan cemerlang apabila berada di petak pertama pada perlumbaan akhir pusingan pembukaan di Batu Kawan, Pulau Pinang.
Bagaimanapun, dia gagal menamatkan perlumbaan apabila mengalami kemalangan seawal pusingan kedua. Lebih memburukkan keadaan, tangan kanannya turut mengalami kecederaan.
Proses pemulihan pelumba 30 tahun itu agak terganggu dengan jadual padat musim ini apabila dia kelihatan mengalami kesukaran untuk beraksi dengan baik pada sesi ujian pramusim Kejohanan Motosikal Asia Petronas (ARRC) pada 4 dan 5 April lalu.
Walaupun masih belum pulih sepenuhnya, Fazli tetap meneruskan aksi pada Pusingan 2 Kejohanan Cub Prix di Kuala Terengganu sebelum dia menamatkan saingan di kedudukan ketujuh.
Keputusan terbaik yang diraih Fazli musim ini ialah menduduki tempat keempat sewaktu Pusingan 3 di Kangar, Perlis.
Pada Pusingan 4 di Bandar Mahkota, Banting, Fazli mengharungi perlumbaan paling buruk dalam kariernya setakat ini apabila mengalami beberapa insiden kemalangan.
Situasi itu menyebabkan dia gagal melayakkan diri ke Superpole dan sekadar mengutip empat mata. Keputusan tersebut sekali gus meletakkan Fazli di tangga ke-11 dalam kedudukan keseluruhan CP130 dengan kutipan 26 mata.
"Musim ini cukup mencabar bagi saya. Walaupun catatan masa yang dilakukan pada dua pusingan awal agak kompetitif, namun saya gagal untuk mengutip mata maksimum kerana terlibat dengan kemalangan," jelas Fazli.
Menyentuh tentang prestasinya di Banting, Fazli berkata: "Kami menghadapi pelbagai masalah teknikal terutama berkaitan sistem brek dan suspensi.
"Setiap kali saya mencuba untuk pergi lebih laju, ia berakhir dengan kemalangan terutama sewaktu sesi latihan bebas dan ujian masa pada hari Sabtu.
"Mekanik pasukan telah melakukan yang terbaik bagi mengatasi masalah itu, namun ia turut berakhir dengan kekecewaan.
"Daripada menjadikan keadaan lebih teruk, kami memilih untuk memastikan agar dapat mengutip mata pada perlumbaan akhir dan saya gembira kerana berjaya melakukannya."
Menjelang perlumbaan Ahad ini, Fazli berkata, dia sudah bersedia sepenuhnya untuk memberikan cabaran kepada barisan pencabarnya.
"Saya tetap akan mencuba sedaya upaya untuk menamatkan perlumbaan di Teluk Intan dalam kelompok lima pelumba terbaik. Lagi bagus jika saya dapat naik ke podium," katanya.

No comments:

Post a Comment