Merancakkan lagi saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012, Muar, Bandar Diraja dipilih sebagai gelanggang bagi Pusingan 6 menggantikan venue asal yang sepatutnya berlangsung di Melaka pada 30 Jun dan 1 Julai ini.
"Ini merupakan kali ketiga saingan berlangsung di litar baru. Kali pertama sewaktu di Kangar di mana ketika itu berlaku perubahan terhadap arah laluan litar. Kali kedua sewaktu Pusingan 4 di Bandar Mahkota, Banting yang menggantikan venue Putrajaya dan kita cukup berpuas hati kerana perubahan yang dilakukan mendapat maklum balas positif daripada pelumba-pelumba," jelas Ron Hogg, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), iaitu promoter Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.
Litar baru sepanjang 947 meter di Stadium Sultan Ibrahim, Muar ini mempunyai enam selekoh kanan dan tiga selekoh kiri termasuk laluan lurus terpanjang sejauh 297m.Dengan pengumuman litar baru ini, semua pelumba sekali lagi akan bersaing secara adil tanpa sebarang kelebihan memihak kepada mana-mana pasukan.
"Suasana perlumbaan yang dipamerkan sewaktu di Banting cukup mencabar di mana pelbagai kejutan telah berlaku dalam setiap kategori perlumbaan. Walaupun perubahan saat akhir ini menyebabkan lebih banyak tugasan dan kerja keras yang perlu dilakukan, untuk tempoh jangka panjang, ia sebenarnya dapat meningkatkan lagi tahap persaingan di dalam Kejuaraan ini."
Mengulas lanjut, Ron berkata, "Saban tahun, kami akan terus bekerja keras untuk menjadikan perlumbaan Cub Prix ini kekal sebagai perlumbaan jentera dua roda terunggul di dalam negara. Bukan sekadar terus meningkatkan tahap profesional perlumbaan, perkara-perkara lain seperti aspek keselamatan, keperluan padok, dan juga hal-hal logistik serta kehadiran penonton-penonton terus dipertingkatkan," jelas Ron.
No comments:
Post a Comment