Beraksi di halaman sendiri memberi kelebihan buat Elly Idzlianizar Ilias untuk meraih kemenangan pertamanya musim ini dalam kategori CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang berlangsung di litar Stadium Utama Kangar, Perlis, hari ini.
Selain kemenangan peribadi pertama musim ini, Elly turut menghadiahkan gelaran juara pertama buat pasukannya, Suzuki Fortyone Racing dalam kancah saingan kategori perdana.
Elly menamatkan perlumbaan 15 pusingan dengan catatan masa keseluruhan 11 minit 31.487s mengatasi dua pelumba Faito Motobert Racing, Ahmad Fazrul Sham dan Ahmad Fuad Baharudin. Fazrul menamatkan perlumbaan di tangga kedua dengan masa 11:34.583s manakala Fuad di kedudukan ketiga, 11:35.502s.
Bagi Elly, tidak ada apa yang lebih manis baginya selain daripada berjaya menghadiahkan kemenangan ini kepada seluruh pasukan dan juga ahli keluarga serta peminat-peminat yang hadir memberikan sokongan. "Beraksi di halaman sendiri membakar semangat dan menambahkan keyakinan kepada saya. Tambahan pula saya tidak mahu mengecewakan sokongan dan harapan daripada mereka semua. Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seluruh ahli pasukan yang sentiasa bekerja keras untuk mendapatkan pelarasan jentera terbaik sejak saingan pusingan pertama lagi," jelas Elly yang menunggang jentera Suzuki buat musim pertama sepanjang penglibatannya dengan kejuaraan ini.
Mengulas tentang perlumbaan, Elly berkata, "Keadaan litar licin akibat hujan memberi banyak kelebihan kepada saya memandangkan saya memang cukup gemar beraksi di atas litar yang basah. Jika di ukur dari segi prestasi jentera, sebenarnya keadaan kami semuanya hampir sama sahaja jadi saya menggunakan kelebihan litar basah ini untuk mengatasi pelumba-pelumba lain terutama sewaktu memintas Fazrul pada pusingan keempat," jelas Elly.
Kemenangan Elly bagaimanapun tidak menggugat kedudukan Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) dalam senarai keseluruhan sekali pun juara Pusingan 2 di Kuala Terengganu itu sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan. Azlan kekal teratas dengan mengumpul 54 mata diikuti Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) kedua dengan 66 mata. Fuad yang mempamerkan prestasi konsisten dengan berada di kelompok lima pelumba terbaik pada setiap perlumbaan musim ini berada di tangga ketiga, 38 mata.
Kejayaan dua pelumba Faito Motobert Racing menaiki podium pada hari ini membantu melonjakkan kedudukan mereka ke tangga pertama dalam senarai Anugerah Berpasukan keseluruhan dengan mengumpul 71 mata diikuti Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing (Azlan/Mohd Fitri Ashraf Razali) di kedudukan kedua dengan 66 mata. Mengekori di tangga ketiga pasukan Pachie Yuzy Honda Racing (Zaqhwan/Wan Mohd Hadri Wan Mokhtar), 52 mata.
No comments:
Post a Comment