jokisenja header

jokisenja header

Wednesday, May 2, 2012

AMIRUL CATAT KEMENANGAN SULUNG



Kategori CP115 menyaksikan Mohd Amirul Ariff Musa akhirnya meraih kemenangan pertama dalam karier perlumbaannya sejak mula beraksi dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS pada tahun 2008.

Pelumba Pachie Yuzy Honda Racing itu menamatkan perlumbaan 12 pusingan dengan masa keseluruhan 9:39.338s meninggalkan Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui) di kedudukan kedua, 9:41.741s diikuti Mohd Emir Firdaus Hasan (M-Seki Liberty Honda Racing) ketiga, 9:43.126s.

Mengakui begitu gembira dengan kemenangannya, Amirul berkata, "Saya sangat-sangat berterima kasih kepada seluruh pasukan terutama pengurus, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang banyak membimbing saya selama ini sehingga akhirnya berjaya meraih gelaran juara yang pertama di sini. Begitu juga dengan sokongan ibu bapa yang terus memberikan dorongan terhadap karier perlumbaan saya," jelas pelumba 21 tahun itu.

Kemenangan ini meletakkan Amirul naik ke kedudukan ketiga keseluruhan dengan 36 mata. Mohd Iskandar Raduan (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan kekal mendahului senarai dengan memungut 53 mata manakala Ahmad di tangga kedua dengan 46 mata.

PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM (Iskandar/ Shahril Izzuwan Mohd Noor) terus mendahului kedudukan Anugerah Berpasukan Keseluruhan dengan mengumpul 87 mata diikuti M-Seki Liberty Honda Racing (Emir/Sasitharen Sukumaran) di tangga kedua, 53 mata dan Pachie Yuzy Honda Racing (Amirul/Mohd Rozaliman Zakaria) ketiga, 48 mata.

No comments:

Post a Comment