TANGGUNGJAWAB besar digalas Sasitharen Sukumaran pada musim 2012 apabila Boon Siew Honda Sdn Bhd meletakkan sasaran tinggi kepada pelumba 20 tahun itu pada aksi pertamanya di Piala Impian Asia (ADC) yang berlangsung seiring dengan Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang, minggu ini.
Kelas perlumbaan baru dijalankan dengan sokongan penuh Honda Motor Co Ltd, Jepun adalah program biasiswa kepada 16 pelumba muda dari seluruh Asia mempamerkan kebolehan menunggang jentera Honda CBR250R, model pengeluaran menyamai kelas Moto3 yang diperkenalkan di MotoGP tahun ini.
Pengurus Boon Siew Honda Motorsports, Rodney Peh berkata, pelumba yang lebih mesra dengan panggilan Sasi dipilih membawa cabaran Malaysia dalam kategori ADC selepas membuktikan kemampuan menduduki tangga kesembilan keseluruhan dengan dua kali menaiki podium kategori CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas.
Pelumba kelahiran Puchong turut mempamerkan prestasi cemerlang apabila menduduki tangga kedua keseluruhan SuperSports B di Malaysian Super Series (MSS) musim lalu berada di belakang juara, Ahmad Nashrul Baharudin (Bike ART Kawasaki Racing) walaupun kekurangan pengalaman menunggang jentera SuperSports.
Berdasarkan pencapaian itu, Rodney berpendapat Sasi mampu beraksi lebih cemerlang.
“Sasi menunjukkan banyak peningkatan musim lalu. Kami menyediakan program buatnya dan berjaya melakukannya dengan baik terutama selepas menduduki tangga kedua keseluruhan kategori SuperSports B di MSS.
“Pencapaiannya di Cub Prix tahun lalu juga agak baik cuma nasib tidak begitu menyebelahinya,” katanya.
Rodney berkata, Piala Impian Asia adalah kategori baru di Malaysia namun perlumbaan dengan jentera CBR250R bukanlah sesuatu yang baru di kebanyakan negara luar.
“Negara jiran seperti Thailand, Jepun dan Indonesia sudah memperkenalkan kategori ini dan memberi kelebihan kepada mereka berbanding Sasi. “Namun berdasarkan kesungguhan dan prestasi tahun lalu, ia bukan satu masalah kepadanya.
“Kami yakin dia boleh bersaing menamatkan perlumbaan di kalangan lima pelumba terbaik dan jika berjaya menaiki podium, ia satu bonus kepada kami. Cuma dia perlu terus bekerja keras dan mempamerkan aksi konsisten.” Sementara itu Sasi berkata: “Saya sangat teruja untuk beraksi namun pada masa sama mula berasakan tekanannya kerana bakal bersaing dengan pelumba berbakat dari seluruh Asia.
“Tambahan pula saya masih kekurangan pengalaman menunggang jentera silinder tunggal seperti ini. “Namun begitu, dengan peluang untuk menguji jentera Moto3 menanti pelumba terbaik ADC tahun ini, saya tidak mahu melepaskan peluang ini.”
No comments:
Post a Comment