jokisenja header

jokisenja header


Friday, October 12, 2012

Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 di litar Stadium Hang Jebat, Melaka,

KERJASAMA KUNCI KEJAYAAN SATU - DUA AFFENDI DAN NORIZMAN


Kerjasama berpasukan menjadi kunci kejayaan buat duo Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 1, Mohd Affendi Rosli dan Norizman Ismail untuk mencatat kemenangan satu - dua dalam kategori CP130 pada Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 di litar Stadium Hang Jebat, Melaka, 6 & 7 Oktober 2012.

Gandingan Affendi dan Norizman berjaya mengetepikan cabaran Ahmad Fuad Baharudin (Faito Motobert Racing) setelah Affendi berjaya melintasi garisan penamat perlumbaan sebanyak 15 pusingan dengan masa keseluruhan 12 minit 35.942 saat. Norizman di kedudukan kedua dengan masa 12:36.082s manakala Ahmad Fuad, 12:36.303s.

"Memang dari awal lagi kami merancang strategi untuk saling bantu membantu pada perlumbaan kali ini dan akhirnya ia berjaya. Selepas saya berjaya mendahului perlumbaan, Norizman turut bekerja keras untuk menutup ruang bagi mengelakkan Ahmad Fuad daripada memintasnya dan pada masa sama, dia turut membuka ruang agar saya terus selesa di hadapan.

"Saya sangat-sangat berterima kasih kepada Norizman dan juga seluruh krew pasukan kerana turut menyediakan jentera yang terbaik pada perlumbaan kali ini sekaligus menghadiahkan kemenangan pertama yang saya nantikan sepanjang tahun ini," jelas Affendi.

Sementara itu, bagi Norizman, dia turut bergembira dengan kemenangan yang diraih oleh Affendi. "Affendi agak ketinggalan dalam senarai keseluruhan jadi saya fikir, dengan kejayaan ini, dia dapat memperbaiki kedudukannya. Selain daripada membiarkannya terus berada di hadapan, saya terpaksa menghalang Ahmad Fuad daripada memintas saya. Mujurlah juga jentera rakan sepasukan Ahmad Fuad, Ahmad Fazrul Sham mengalami masalah walaupun pada ketika itu dia sedang mendahului perlumbaan. Jika tidak, tugas kami mungkin bertambah sukar.

"Mata yang dipungut oleh kami berdua pada hari ini bukan sahaja penting untuk diri kami sendiri, malah ia dapat membantu menghidupkan peluang bagi kami mempertahankan Anugerah Berpasukan Keseluruhan yang dimenangi pada musim lalu," jelas Norizman.

Sekalipun sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan, Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2) terus mendahului kedudukan keseluruhan CP130 dengan mengumpul 127 mata manakala Ahmad Fuad di tangga kedua dengan 113 mata. Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) di kedudukan ketiga dengan 99 mata.


AFIF RAIH KEMENANGAN BERMAKNA DI MELAKA


Dalam saingan kategori CP115, setelah bergelar naib juara di Kluang (Pusingan 7), Ahmad Afif Amran meneruskan kecemerlangannya dan kali ini dia berjaya meraih gelaran juara buat pertama kali dalam musim ini.

Pelumba CKJ Yamaha Racing  itu menamatkan perlumbaan 12 pusingan dengan masa keseluruhan 10:12.518s manakala duo M-Seki Liberty Honda Racing, Mohd Emir Firdaus Hasan dan Sasitharen Sukumaran berada di tempat kedua dan ketiga, masing-masing dengan masa keseluruhan 10:16.554s dan 10:17.168s.

"Selepas beberapa pusingan perlumbaan berlangsung, saya dapati Sasitharen kerap melakukan kesilapan di selekoh-U, jadi saya hanya menunggu peluang untuk memintasnya di situ. Pada pusingan kesembilan, dia sekali lagi melakukan kesilapan apabila sedikit terbabas dan saya memanfaatkan peluang tersebut untuk memintas seterusnya berada di kedudukan hadapan sehingga ke garisan penamat," jelas Afif.

Kedudukan tempat kedua yang diraih oleh Mohd Emir telah membantunya untuk naik ke tangga ketiga dalam senarai keseluruhan setelah mengumpul 94 mata. Kedudukan teratas dan kedua kekal menjadi milik Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) dan Mohd Amirul Arif Musa (Pachie Yuzy Honda Racing), masing-masing dengan 110 mata dan 104 mata.


FAKHRUSY TEPATI RAMALAN


Menepati ramalan, juara Pusingan 7 di Kluang, Fakhrusy Syakirin Rostam dengan mudah menguasai perlumbaan kategori Wira setelah menamatkan perlumbaan 10 pusingan dengan masa keseluruhan 8:37.452s di Melaka hari ini.

Pelumba AAP Mazoil Armstrong Motorsport itu 4.305s jauh dihadapan pemenang tempat kedua, Tengku Amirul Haffiruddin dari pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing. Tempat ketiga menjadi milik rakan sepasukan Tengku Amirul, Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan dengan masa keseluruhan 8:44.694s.

Mengakui kemenangan pada perlumbaan hari ini agak mudah baginya, Fakhrusy berkata, "Tidak banyak yang saya lakukan sepanjang perlumbaan tadi. Permulaan yang baik dan juga insiden melibatkan pelumba di belakang memberi laluan mudah untuk saya selesa berada di hadapan. Sedar saya selesa di hadapan, saya hanya memberi tumpuan untuk menamatkan perlumbaan tanpa perlu mengambil sebarang risiko yang boleh merugikan saya," jelas Fakhrusy yang turut memenangi perlumbaan di litar ini pada musim lalu.

Dengan 25 mata yang dipungut pada hari ini, Fakhrusy merampas gelaran pendahulu keseluruhan daripada Mohd Hafiz Nor Azman (Team Mos Track Pro Yamaha Racing) yang sekadar menamatkan perlumbaan di tangga keempat. Fakhrusy kini mengumpul 158 mata manakala  Hafiz dengan 152 mata. Kedudukan ketiga kekal menjadi milik Tengku Amirul dengan 98 mata.


DANIAL TUMPASKAN KHAIRUL IDHAM DI MELAKA


Mungkin ini bukan hari untuk Khairul Idham Pawi apabila Mohd Danial Ibad Jasni merampas tempat pertama podium kali ini untuk Cabaran Honda Wave Junior bagi Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS. Pendahulu carta tersebut telah memberi sedikit ruang kesilapan untuk Danial merampas peluang kemenangan.

Danial yang pantas mengambil kesempatan ke atas kesilapan Khairul menamatkan perlumbaan sebanyak 10-lap tersebut dalam masa 9'31.288s. Dibezakan dengan jarak 0.242 saat, Khairul terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan catatan masa keseluruhan 9'31.530s.

"Sedikit sukar apabila saya terpaksa bergelut dengan masalah teknikal jentera saya yang mengakibatkan saya kehilangan kedudukan di hadapan. Danial pula bijak mencuri peluang tersebut," ujar Khairul.

Pemenang tempat ketiga pula adalah Afiq Hanafi Ismail Tahalus. Afiq yang telah merasai kemenangan podium sebelum ini tampil lebih yakin untuk menamatkan perlumbaan dengan 9:33.550s.

Dia kekal di tempat keempat keseluruhan (97 mata) manakala Danial naik tangga kedua dengan 121 mata. Khairul walaubagaimanapun masih kekal pendahulu dengan sejumlah 170 mata jauh meninggalkan para pelumba yang lain dan dia hanya memerlukan 1 mata sahaja lagi untuk bergelar Juara Cabaran Honda Wave Junior 2012.
 


SYAFIQ ROSLI BUKA PELUANG


Tiada siapa yang lebih layak untuk mencabar carta kedudukan Cabaran Suzuki Belang selain dari Mohd Syafiq Rosli. Syafiq berjaya mengekalkan rentak kemenangannya dengan menjuarai Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium Hang Jebat, Melaka.

"Saya berusaha bermati-matian untuk mencapai kedudukan ini. Saya kini makin hampir dengan kejuaraan dan berasa amat lega dengan keputusan hari ini," jelas Syafiq ketika ditemubual. Dia yang menang di Kluang (Pusingan 7) tempoh hari megutip mata maksimum untuk meletakkan dirinya selaku pendahulu carta keseluruhan Suzuki one-make ini selepas Pusingan 8 di Melaka.

Ketika perlumbaan, Syafiq bijak merampas kedudukan pendahulu awal sebelum menjarakkan diri pada peringkat pertengahan perlumbaan, sekaligus melenyapkan hasrat Mohd Aziq Jumali untuk terus mengejar.

Afiq menamatkan cabaran litar Melaka di tempat kedua dalam 9:28.251s manakala Syafiq jauh di hadapan dengan 9:22.689s. Fitri Wazi pula muncul di tempat ketiga. Fitri yang sedikit tertekanan bergelar anak seorang pelumba bijak mencuri kedudukan ketiga berikutan satu kemalangan yang melibatkan empat orang pelumba.

Syafiq sekarang kini mengetuai carta keseluruhan Cabaran Suzuki Belang dengan 130 mata manakala Ahmad Syukran Aizat jatuh tempat kedua. Aziq pula kini miliki 84 mata di tempat ketiga.
 


HASRAT FARIZNAZREEN JADI KENYATAAN


Tengku Amirul Haffiruddin sebenarnya yang merampas kedudukan pendahulu pada awal perlumbaan Super Siri Yamaha 135 PETRONAS meninggalkan Nurahmad Fariznazreen namun di akhir perlumbaan, dia terpaksa menyerah kalah dengan rakannya di litar Melaka ini.

Satu pertembungan hebat, Fariznazreen dan Tengku Amirul silih-berganti mendahului perlumbaan sehingga satu ketika, jarak yang dicipta mereka agak jauh meninggalkan pelumba lain. Satu-satunya pelumba yang berjaya menamatkan perlumbaan di belakang mereka adalah Mohd Azrul Alif Mohd Yusof.

Azrul menamatkan perlumbaan kali ini dengan catatan 9:05.686s manakala Fariz dalam 9:04.323s. Apa yang lebih menarik apabila baru-baru ini Fariz pernah dipetik menyatakan kekecewaanya atas persembahan kurang menarik musim ini. Mungkin kemenangan ini bakal membangkitkan semangat pelumba remaja ini untuk tampil lebih hebat pada baki dua pusingan musim ini.

"Saya tidak pernah menang tempat pertama setakat ini jadi dengan kemenangan ini, saya rasa begitu bersyukur dan terhutang budi dengan semua pihak yang telah menyokong saya," jelas Fariznazreen.

Mohd Nasri Mohd Ishak pula masih dalam kemarau kemenangannya manakala Mohd Izrul Huzairie Amran pula hanya mendapat tempat ke-12 setelah didenda Penalti Stop and Go.

Walaupun dengan satu perlumbaan yang hambar, Mohd Izzat Zaidi masih mendahului carta keseluruhan dengan 161 mata diikut rapat Tengku Amirul dengan 156 mata. Fariz pula kini mempunyai 113 mata di tempat ketiga.


IZUAF JUARA PERSENDIRIAN, NASIB MALANG KHAIRUL AZIZI BERTERUSAN


Litar Melaka merupakan kegemarannya. Itu kata jujur Izuaf Sirun berikutan kemenangannya di litar tersebut untuk kelas Persendirian kali ini dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS. Izuaf merampas kedudukan di pusingan tiga perlumbaan sebelum meninggalkan satu jarak agak besar menyukarkan Khairul untuk berbuat apa-apa.

Khairul Azizi Abdul Mansor mulanya di petak pertama perlumbaan. Dengan pacuan pertama di hadapan dia mendahului kesemua pelumba lain pada awalnya. Namun di pusingan tiga perlumbaan, Izuaf yang sentiasa mengekori dibelakang Khairul akhirnya terlihat satu ruang untuknya menyelinap masuk dan merampas kedudukan.

"Cuaca hari ini sangat baik. Keadaan litar baik dan keadaan jentera saya adalah seperti yang diharapkan," kata Izuaf gembira. Di satu pusingan-U, Izuaf dilihat tampil cemerlang yang membawa kepada sedikit kejatuhan Khairul Azizi.

Tempat ketiga pula dimenangi Azlan Shah Saidun Hardi. Pelumba tersebut mencatat masa 9:04.909s. Mohd Imran Zulkafli yang pernah menang di Kluang pula hanya berjaya di tempat keempat manakala Mohd Syazrul Ahmad dikecualikan dari perlumbaan kerana gagal mematuhi denda Penalti Jump Start.

Walaupun kini telah kali keempat pendahulu carta Khairul Azizi gagal menduduki tangga teratas podium, dia masih mendahului dengan 131 mata di depan Hilmi Affan yang masih kekal di tempat kedua dengan 108 mata. Hilmi yang masih lagi sedang pulih dari kecederaan bahu dan berkemungkinan akan berehat untuk baki musim ini, mungkin kejuaraan sudah jelas kelihatan untuk Khairul Azizi.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd 


No comments:

Post a Comment