jokisenja header

jokisenja header


Tuesday, September 25, 2012

Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 22 Sept. 2012 di Litar Kluang, Johor

PENGALAMAN BANTU FUAD MENANG DI KLUANG


Ahmad Fuad Baharudin tidak mensia-siakan pengalaman selama 15 tahun beraksi sebagai pelumba profesional apabila muncul juara kategori CP130 pada perlumbaan Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 di Litar Kluang, Johor, hari ini.
Dikenali sebagai litar yang begitu teknikal di dalam kalendar kejuaraan Cub Prix, pelumba Faito Motobert Racing itu terpaksa mengerah segala kudrat dan pengalaman untuk menangkis asakan demi asakan daripada Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) sebelum berjaya menamatkan perlumbaan 15 pusingan dengan masa keseluruhan 12:01.586s.
Azlan akur di kedudukan kedua, 0.527s di belakang Fuad manakala Mohd Taufiq Roslan (Yamaha Maju Motor) ketiga, 12:02.319s.
"Litar ini tidak begitu mementingkan kepantasan jentera, sebaliknya lebih kepada penggunaan kotak gear dan juga sistem saspensi jentera yang sesuai dengan permukaan litar dan juga gaya tunggangan saya sendiri. Selekoh di sini agak sempit dan ada diantaranya tidak begitu rata serta beralun. Malah terdapat juga laluan mendaki dan menuruni bukit dilitar ini, sedikit berbeza dengan litar-litar lain."
"Dengan pengalaman yang ada, saya tidak memerlukan masa yang lama untuk mendapatkan pelarasan jentera yang terbaik. Walaupun gagal mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa semalam, pada ketika itu kotak gear dan sistem saspensi jentera saya sudah cukup sempurna. Dari situ timbul keyakinan dalam diri yang mana saya rasa mampu untuk mengulangi kejayaan yang saya lakukan pada tahun 2010 di litar ini," jelas Fuad yang kini naik ke tangga kedua dalam senarai keseluruhan pelumba CP130 dengan 97 mata, memintas rakan sepasukan, Ahmad Fazrul Sham yang turun ke tangga ketiga dengan 91 mata.
Sementara itu, walaupun kekal mendahului kedudukan setelah mengumpul 120 mata, Azlan jelas agak kecewa kerana gagal muncul juara walaupun berjaya mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa, semalam.
"Saya gembira kerana berjaya mencapai hasrat untuk terus kekal di tangga teratas, namun pada masa sama saya agak kecewa kerana gagal untuk mencari gelaran juara kedua pada musim ini. Walaupun beberapa kali saya mencuba untuk memintas Fuad, namun dia berjaya menutup ruang dengan baik. Jelas pengalaman yang ada pada Fuad membezakan keupayaan kami di litar yang cukup teknikal ini. Kini saya meletakkan sasaran untuk mencari kemenangan pada pusingan kelapan di Melaka nanti," jelas Azlan.



CKJ DOMINASI PERLUMBAAN CP115


Pasukan CKJ Yamaha Racing meraih kemenangan bergaya setelah Shariffudin Shamsudin dan Ahmad  Afif Amran mencatat kemenangan satu-dua dalam saingan kategori CP 115.

Sharifuddin melintasi garisan penamat dengan masa keseluruhan 9:48.636s dan Afif sekadar 0.337s di belakang manakala tempat ketiga menjadi milik Mohd Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing) ketiga, 9:49.421s.

Sharifuddin yang bermula dari petak pertama walaubagaimanapun pada peringkat awal perlumbaan sedikit ketinggalan kepada Adib yang memecut laju sebaik pelumba-pelumba dilepaskan. Selepas beberapa pusingan, Shariffudin bagaimanapun berjaya menggunakan kepantasan jenteranya untuk kembali memimpin perlumbaan dengan memanfaatkan kesilapan yang Adib lakukan di selekoh U.

Aksi sama ditunjukkan Afif apabila pelumba itu berjaya naik ke kedudukan kedua selepas beberapa pusingan berada di kedudukan keempat. Sebaik berada di belakang rakan sepasukannya itu, Afif berjaya menutup ruang dengan baik sekaligus berjaya mempertahankan kedudukan Sharifuddin untuk mengejar kemenangan pertamanya pada musim ini.

"Memang saya dan Afif ada mengatur strategi untuk saling membantu jika salah seorang diantara kami berdua berada di hadapan dan kami cukup gembira kerana apa yang dirancang menjadi kenyataan. Selepas berjaya melepasi Adib yang pada satu ketika berada di hadapan, saya hanya memberi tumpuan untuk kekal di hadapan sehingga ke garisan penamat. Apa yang lebih menggembirakan, kerja keras saya sepanjang tempoh rehat dua bulan ini berjaya menghadiahkan kemenangan yang sudah lama saya nanti-nantikan. Terima kasih kepada pasukan dan kaum keluarga yang terus memberikan sokongan kepada saya selama ini."

Keputusan ini bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) sebagai pendahulu keseluruhan setelah mengumpul 101 mata, diikuti Mohd Amirul Ariff Musa (Pachie Yuzy Honda Racing) kedua, 93 mata dan Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui Racing) ketiga, 88 mata.


FAKHRUSY SUKAR DIGUGAT


Saingan kategori Wira menyaksikan penguasaan Fakhrusy Syakirin Rostam di Litar Kluang sukar digugat apabila berjaya mengetepikan cabaran pendahulu keseluruhan, Mohd Hafiz Nor Azman untuk meraih kemenangan keempat pada musim ini.

Pelumba AAP Mazoil Armstrong Motorsport itu melintasi garisan penamat dengan masa keseluruhan 8:08.685s, 4.048s di hadapan Hafiz (Team Mos Track Pro Yamaha Racing) manakala Tengku Amirul Haffiruddin (Motul Yamaha YY Pang Racing) di tempat ketiga, 8:19.374s.

Fakhrusy yang menguasai hari pertama perlumbaan setelah mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa memulakan perlumbaan dari petak kedua namun berjaya naik ke kedudukan pertama sebaik melepasi selekoh pertama dan terus mendahului saingan sehingga ke garisan penamat tanpa dapat dicabar oleh mana-mana pelumba.

Mengulas tentang kemenangan selesa, Fakkhrusy berkata, "Perlumbaan tadi agak mudah bagi saya kerana setelah berjaya mendahului kedudukan sebaik melepasi selekoh pertama pada pusingan pertama, saya hanya bersendirian di hadapan manakala beberapa pelumba lain bersaing agak rapat untuk merebut tempat kedua dan ketiga. Saya hanya kekal fokus dan beraksi secara konsisten untuk menuju ke garisan penamat. Dengan kemenangan ini saya dapat merapatkan jurang mata dengan Hafiz dan meletakkan sasaran untuk mencatat kemenangan pada perlumbaan akan datang," jelas Fakhrusy.

Hafiz yang sedikit kecewa menjelaskan,Saya tidak dapat melepasi Tengku Amirul dan juga beberapa pelumba lain pada peringkat awal perlumbaan dan ini memberikan ruang buat Fakhrusy untuk terus menjarakkan diri di hadapan. Sebaik melepasi halangan dan berada di kedudukan kedua, jarak diantara saya dan Fakhrusy sudah agak jauh,"  jelas Hafiz.

Sekalipun tewas, Hafiz kekal di tangga teratas keseluruhan dengan mengumpul 139 mata, namun hanya enam mata mendahului Fakhrusy manakala Tengku Amirul ketiga, 78 mata.


KHAIRUL AZIZI DITIMPA NASIB MALANG


Menyambung beberapa siri kejutan dalam kategori Persendirian sejak sesi Ujian Masa, kali ini perlumbaan akhir Pusingan 7 menyaksikan debaran demi debaran apabila pendahulu carta, Khairul Azizi Abd Mansor yang kelihatan bakal menjuarai tiba-tiba kecundang akibat kemalangan di minit terakhir perlumbaan. Tempat pertama kali ini dimenangi Mohd Imran Zulkafli, pelumba yang mendahului perlumbaan kemudian dicabar Khairul hampir di setiap saat hinggakan pertembungan mereka menghasilkan jarak dalam empat saat dengan para pelumba lain. Khairul namun begitu kecewa setelah perlanggaran dengan Imran menyebabkan jenteranya rosak teruk dan terpaksa dikeluarkan. Perebutan tempat di belakang mereka juga tidak kurang hebatnya dengan Mohd Alib Abdul ditentang hebat Azlan Shah Saidun Hardi yang menyaksikan Alib berjaya menang tempat kedua (8:50.398s) dan Azlan (8:57.220s) ketiga. Tempat keempat jatuh kepada Mohd Syafiq Samad dan Mohd Aqid Jumali menang tempat kelima. Mustakim Mohd Nor juga berkongsi kekecewaan apabila gagal menamatkan perlumbaan. Lebih buruk lagi apabila satu-satunya pelumba Wanita kategori ini terpaksa direhatkan setelah satu kemalangan pada sesi Saringan sebelum itu. Khairul namun masih berdiri gagah di atas carta dengan 111 mata manakala Hilmi Affan Abdul Malik di tempat kedua dengan 108 mata. Tempat ketiga dan keempat diduduki Syafiq dan Imran dengan 88 dan 83 mata.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd 

No comments:

Post a Comment