jokisenja header

jokisenja header


Friday, September 28, 2012

HAFIZH ISI SLOT WILDCARD MOTOGP MALAYSIA



Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah akan beraksi buat tahun kedua berturut-turut apabila disahkan bakal mengisi slot wildcard Moto2 Grand Prix (MotoGP) Malaysia yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 19 hingga 21 Oktober depan.

Pada penyertaan pertamanya, pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu memberikan aksi terbaik dengan kejayaan menamatkan perlumbaan di tempat ke-20 daripada 38 pelumba yang mengambil bahagian.

Selepas mencatat kejayaan sebagai juara Expert/CP130 termuda Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dan pelumba termuda yang berjaya memenangi perlumbaan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC), pelumba Program Pembangunan Bakat PETRONAS itu turut mencipta sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama beraksi dalam kategori Moto2 di Kejuaraan Motosikal Sepanyol  Campeonata de Espana de Velocidad (CEV) untuk satu musim penuh pada tahun ini.

Memacu jentera Moto2 FTR, Hafizh mempamerkan prestasi cemerlang apabila menamatkan lima daripada enam pusingan perlumbaan di kalangan lima pelumba teratas sekaligus membantu pelumba muda berusia 18 tahun ini berada di kedudukan keenam keseluruhan dan muncul pendahulu bagi kategori persendirian.

"Saya cukup gembira dan tidak sabar untuk beraksi buat kali kedua dalam perlumbaan Moto2 di MotoGP Malaysia. Saya mengucapkan terima kasih kepada penaja saya, PETRONAS kerana yakin dengan kemampuan yang saya miliki, begitu juga dengan sokongan yang telah diberikan selama ini. Sasaran utama saya pada tahun ini sudah pasti untuk memperbaiki keputusan yang dicapai pada tahun lalu. Banyak yang telah saya pelajari pada penyertaan tahun lalu, namun beraksi di Kejuaraan Motosikal Sepanyol CEV Buckler dalam kategori Moto2 pada tahun ini telah membantu meningkatkan lagi prestasi saya. Dengan pengalaman yang ada, saya yakin untuk mencatat keputusan yang terbaik di hadapan penyokong sendiri di Sepang nanti. Pada ketika ini, tumpuan utama saya adalah untuk meningkatkan lagi persediaan sebelum menghadapi perlumbaan Moto2 GP Malaysia nanti," jelas Hafizh.

Bagi Pengurus Pasukan, Barry Leong, "Jika menilai keputusan yang dicapai sewaktu penyertaan sebelum ini, Hafizh telah mara setapak lagi setelah penyertaan pada musim pertama Kejuaraan Motosikal Sepanyol CEV Buckler menampakkan impak cukup positif. Dengan persaingan kompetitif yang dihadapinya dan juga segala pengalaman serta pendedahan yang ditimba  di Sepanyol, kami yakin Hafizhberupaya untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan antara 15 pelumba terbaik. Keyakinan kami turut bertambah setelah Hafizh berjaya mencatatkan masa di bawah 2.10 minit, 1.9 saat lebih pantas berbanding catatan terbaik pada musim lalu ketika sesi latihan baru-baru ini. Dari segi persiapan pasukan pula, kami akan dengan kelengkapan terbaik, tenaga kerja dan juga tempoh latihan maksimum kepada Hafizh sebagai persediaan untuk penyertaan wildcard ini."

Sementara itu, Pengurus Besar PETRONAS Motorsports, Anita Azrina Abdul Aziz menjelaskan, "Kami gembira melihat kemajuan Hafizh sejak dari mula dia menyertai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS. Pada tahun ini dia turut mencatat kejayaan cemerlang di Kejuaraan Motosikal Sepanyol CEV Buckler di mana penyertaannya ini amat penting agar dia terus mengembangkan kariernya hasil pengalaman bersaing dengan pelumba-pelumba muda terbaik Eropah. Dengan penglaman yang diperolehi ketika menyertai Moto2 pada tahun lepas dan penyertaan di CEV, kami optimis Hafizh mampu  memberikan saingan hebat di MotoGP Malaysia nanti!"

Issued by PETRONAS Motorsports



No comments:

Post a Comment