jokisenja header

jokisenja header


Tuesday, November 20, 2012

PUSINGAN TERAKHIR CUB PRIX 2012 KE BATU KAWAN P.PINANG


 

Pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang dijadualkan berlangsung pada 1 dan 2 Disember ini di Padang Kota bertukar ke lokasi baru iaitu di Stadium Batu Kawan.

Lokasi bersejarah yang menjadi gelanggang terakhir sepanjang dua musim lepas terpaksa ditukarkan bagi membolehkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menjalankan kerja-kerja memperkenalkan sistem aliran trafik baru di pulau tersebut.

"Pulau Pinang merupakan destinasi pelancongan yang begitu popular dan kerajaan negeri menyuarakan kebimbangan mereka terhadap aliran trafik yang teruk di bahagian pulau terutama pada musim cuti sekolah dan perayaan Krismas Disember ini," jelas Ron Hogg, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd.

"Bagi mengatasi masalah tersebut, sistem baru trafik akan diperkenalkan dan kerajaan negeri memohon agar pusingan terakhir dapat dipindahkan ke Batu Kawan bagi memberi laluan kepada mereka untuk menjalankan kerja-kerja berkaitan. Walau bagaimanapun, Kejuaraan Cub Prix pasti akan kembali semula ke sini tahun depan. Padang Kota merupakan lokasi yang cukup strategik dan sentiasa menerima kehadiran penonton yang begitu ramai," tambahnya.

Di sebalik masalah yang tidak dapat dielakkan, Ron tetap optimis perlumbaan di Batu Kawan tetap mempunyai kelebihan tersendiri.

"Pertukaran ini mungkin sedikit mengganggu persediaan pasukan dan pelumba-pelumba kerana mereka sukakan litar Padang Kota. Namun ia tidak menghalang mereka tampil memberikan aksi terbaik di Batu Kawan terutama setelah melalui perlumbaan yang cukup mendebarkan di Sepang (Pusingan 9) minggu lalu."

Sementara itu, perlumbaan di Sepang menyaksikan Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing telah mengesahkan gelaran juara keseluruhan kategori perdana CP130 manakala pelumba 14 tahun, Khairul Idham Pawi turut dinobatkan sebagai juara Cabaran Honda Wave Junior 2012.

Lima lagi gelaran, CP115, Wira, Siri Super Yamaha 135 PETRONAS, Cabaran Suzuki Belang dan Persendirian, pemenang-pemenang akan ditentukan pada perlumbaan terakhir.
 

No comments:

Post a Comment