Sunday, December 11, 2011
SATU LAGI MUSIM CEMERLANG CUB PRIX 2011
Saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 melabuhkan tirainya dengan kemunculan juara-juara baru dan memberi petunjuk kepada saingan yang lebih menarik musim hadapan.
Berlangsung di Penang Esplanade, (Padang Kota Lama), perlumbaan penutup minggu lalu menyaksikan pasukan Honda menamatkan rekod baik Yamaha di dalam Kejuaraan Cub Prix secara langsung membuktikan setiap pelumba, pasukan dan jentera yang bertanding masing-masing mempunyai peluang sama rata untuk bergelar juara.
Hanya memasuki tahun kedua bersama jentera Honda, pasukan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing mempamerkan prestasi menakjubkan dengan Norizman Ismail memenangi gelaran individu dan turut membantu untuk merangkul Anugerah Berpasukan Keseluruhan dalam kategori CP130. Menambah kepada prestasi cemerlang mereka, rakan sepasukan, Mohd Affendi Rosli turut menamatkan saingan musim ini dengan menduduki tangga kedua keseluruhan.
Namun, pasukan Yamaha tetap tampil cemerlang dengan pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM menguasai kategori berpasukan CP115 di samping Shahril Izzuwan Mohd Noor yang menguasai kategori individu manakala Zulsyafiz Rosli pula menjuarai kategori Wira.
Tidak ketinggalan pasukan Suzuki mempamerkan peningkatan ketara untuk memenangi tempat keempat keseluruhan dalam kategori Wira sekali gus memberi amaran awal tentang kebangkitan mereka pada musim hadapan.
Selain itu, pusingan grand finale kali ini juga menyaksikan seramai 170 peserta mengambil bahagian dalam kesemua kategori iaitu CP130, CP115, Wira, Piala Yamaha EgoLC PETRONAS, Cabaran Honda Wave junior dan juga kelas Persendirian.
Berpuas hati dengan penghujung musim ini, Pengarah Promosi Promoter Kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn. Bhd, Ron Hogg berkata, "Musim 2011 ini merupakan satu tahun yang menarik bagi kesemua kontinjen dan juga peminat-peminat Cub Prix. Dalam saingan CP130 sahaja kita menyaksikan tujuh pelumba muncul juara pada sepanjang musim ini dan pastinya saingan musim hadapan akan bertambah sengit dan menarik," katanya.
"Di samping itu, pada tahun ini dua pelumba Malaysia iaitu Mohd Zamri Baba dan Hafizh Syahrin Abdullah turut mengambil bahagian dalam Grand Prix Motosikal (MotoGP) sebagai pelumba wildcard. Mereka memperoleh keputusan yang positif dan sebenarnya pencapaian ini seiring dengan objektif kami di Safe Aim Mutual (SAM) untuk melahirkan pelumba-pelumba Cub Prix dan menyediakan landasan bagi mereka beraksi di peringkat dunia."
Ron kemudiannya turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjadikan Kejuaraan ini sepertimana kejayaan yang diperoleh pada hari ini, "Walau bagaimanapun, semua ini tidak akan tercapai tanpa sokongan penaja utama, PETRONAS, penaja korporat, kerajaan negeri, pihak media dan juga semua pelumba dan pasukan bertanding. Keyakinan mereka terhadap Cub Prix yang membawa kami ke tahap ini."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment